KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memperkemas dasar dan insentif bagi mempercepat pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) termasuk meluaskan kemudahan pengecasan di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin.
Beliau berkata kerajaan kini bekerjasama dengan pelbagai pemegang taruh khususnya Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membina lebih banyak pencawang elektrik bagi memastikan bekalan kuasa yang mencukupi untuk menyokong pembangunan kemudahan pengecasan EV.
"Pembinaan kemudahan pengecasan memerlukan pencawang bagi memastikan bekalan kuasa yang mencukupi," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Sim berkata kerajaan juga sedang mengadakan perbincangan bagi menyediakan insentif kepada pengendali kemudahan pengecasan bagi menggalakkan pembinaan lebih banyak kemudahan itu.
"Kalau tiada pencawang, tiada pihak boleh membina kemudahan pengecasan kerana bekalan kuasa tidak mencukupi. Justeru, usaha ini memerlukan insentif, dasar yang sesuai serta pembangunan keseluruhan ekosistem.
"Ia mengambil masa, namun kerajaan mengambil maklum cadangan yang dikemukakan dan akan berusaha menambah baik pelaksanaannya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai langkah proaktif kerajaan untuk menangani kekurangan kemudahan pengecasan EV di seluruh negara selaras dengan sasaran mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050.
Menjawab soalan tambahan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mengenai faktor syarat nilai minimum RM200,000 bagi kos, insurans dan tambang (CIF) serta kuasa minimum 180 kilowatt (kW) hanya dikenakan ke atas EV import sepenuhnya (CBU), Sim berkata pendekatan terhadap EV dan kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) adalah berbeza kerana kedua-duanya berada pada tahap pembangunan industri yang berlainan.
Beliau berkata bagi kenderaan ICE, dasar kemasukan model CBU telah lama dilaksanakan berdasarkan kapasiti enjin iaitu hanya model berkapasiti 1,800 sentimeter padu (cc) ke atas dibenarkan diimport ke negara ini.
"Bagi EV pula, kerajaan perlu mengimbangi dua objektif secara serentak iaitu mempercepat penggunaan EV dalam kalangan rakyat serta membangunkan industri pemasangan tempatan, rantaian bekalan dan keseluruhan ekosistem EV supaya Malaysia tidak hanya menjadi pasaran pengguna.
"Selain itu, struktur cukai dan insentif bagi EV berbeza daripada kenderaan ICE. Pada masa ini, kadar duti eksais bagi EV hanyalah 10 peratus, jauh lebih rendah berbanding kenderaan ICE, dengan kadar duti eksaisnya bergantung kepada kapasiti enjin, jenis kenderaan serta tahap penyetempatan," katanya.
Beliau berkata kadar duti eksais yang lebih rendah menjadikan penentuan nilai import bagi EV lebih kritikal bagi memastikan asas pengiraan cukai adalah tepat selain mengurangkan risiko pengisytiharan nilai import yang lebih rendah daripada nilai sebenar.
"Oleh itu, penetapan nilai minimum CIF merupakan antara mekanisme dasar untuk mengurangkan ruang berlakunya pengisytiharan nilai yang lebih rendah serta memastikan kutipan hasil kerajaan terus terpelihara," katanya.
-- BERNAMA