Skip to main content

Malaysia

Kerajaan perkenal MediAsas, tangani peningkatan kos rawatan swasta

Dr Dzulkefly Ahmad
Dzulkefly berkata, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada reformasi struktur pembiayaan kesihatan negara yang dirangka bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perlindungan kesihatan tanpa dibebani peningkatan kos rawatan. - Foto Facebook Dzulkefly Ahmad
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan melancarkan inisiatif MediAsas di bawah kerangka RESET sebagai sebahagian daripada reformasi struktur pembiayaan kesihatan negara bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perlindungan kesihatan tanpa dibebani peningkatan kos rawatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, reformasi itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) yang dipengerusikannya bersama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sebelum dipersetujui sebagai langkah memperkukuh sistem pembiayaan kesihatan negara.

"Kesihatan adalah hak asas setiap warga, bukannya sebuah komoditi kemewahan yang hanya eksklusif untuk segelintir pihak. Peningkatan kos penjagaan perubatan swasta semakin membimbangkan dan tidak wajar dibiarkan terus mencengkam kehidupan rakyat marhaen," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Ahad.

"Demi memelihara integriti dan melindungi kepentingan pengguna secara berterusan, sebuah Lembaga Tadbir Urus Bebas akan turut ditubuhkan. Program rintis ini akan bermula hujung Julai ini sebelum diperluas ke peringkat nasional menjelang Januari 2027," katanya.

Dzulkefly berkata, bagi mengatasi ketidakseimbangan itu, kerajaan memperkenalkan MediAsas yang menawarkan dua pilihan pelan insurans dan takaful perubatan, iaitu MediAsas Teras dan MediAsas Fleksi, pada kadar yang lebih mampu milik.

Katanya, pelan itu turut menawarkan perluasan jaringan perlindungan sehingga usia 85 tahun, manakala had umur penyertaan ditetapkan sehingga 70 tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebuah Lembaga Tadbir Urus Bebas akan ditubuhkan bagi memelihara integriti pelaksanaan inisiatif berkenaan serta melindungi kepentingan pengguna secara berterusan.

Menurutnya, program rintis MediAsas dijadual bermula pada penghujung Julai ini sebelum diperluaskan ke seluruh negara menjelang Januari 2027.

Selain itu, beliau berkata, reformasi sistem kesihatan turut melibatkan peralihan kepada model penjagaan berasaskan nilai (value-based care) yang disokong penggunaan teknologi digital.

Katanya, usaha itu akan diperkukuh menerusi pelaksanaan Rangkaian Persijilan Kesihatan Digital Malaysia (MDHCN) serta penguatkuasaan ketelusan bil perubatan bagi meningkatkan kecekapan dan keyakinan pengguna terhadap sistem kesihatan negara.

Beliau menegaskan, langkah strategik berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan ekosistem kesihatan negara terus berteraskan keadilan sosial, kesaksamaan dan kebajikan rakyat.

Kerangka RESET diperkenalkan bagi menstruktur semula insurans dan takaful kesihatan, meningkatkan ketelusan harga perubatan serta ubat-ubatan.

RESET juga menekankan pendigitalan kesihatan, peluasan rawatan kos efektif dan pembaharuan mekanisme pembayaran kepada penyedia perkhidmatan.

 

Must Watch Video

Advertisement