MALAYSIA

Kerajaan perkukuh kerjasama antara kementerian demi keperluan golongan OKU

Faida Rahim 05/11/2025 | 03:56 MYT
Nancy berkata, Majlis Kebangsaan OKU berperanan sebagai platform utama untuk kementerian-kementerian berkaitan duduk bersama dan meneliti keperluan golongan tersebut secara kolektif. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan terus memperkukuh kerjasama antara pelbagai kementerian bagi memastikan keperluan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dipenuhi secara menyeluruh, berkesan dan bersepadu.


Ringkasan AI
  • Majlis Kebangsaan OKU menjadi platform utama untuk kementerian berkaitan meneliti keperluan OKU secara kolektif dan berfokus.
  • Kerajaan menetapkan kuota 1% pengambilan OKU dalam sektor awam, dengan sesetengah kementerian seperti KPWKM melebihi sasaran tersebut.
  • Kementerian seperti Pengangkutan menyediakan pengangkutan awam percuma kepada OKU, mencerminkan komitmen terhadap sokongan inklusif.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Majlis Kebangsaan OKU berperanan sebagai platform utama untuk kementerian-kementerian berkaitan duduk bersama dan meneliti keperluan golongan tersebut secara kolektif.

“Majlis ini membolehkan semua pihak berkepentingan berbincang secara menyeluruh mengenai keperluan OKU, agar pendekatan yang diambil lebih holistik dan berfokus,” katanya ketika menjawab soalan Salamiah Mohd Nor (Temerloh) di Dewan Rakyat hari ini berhubung cadangan penubuhan Jabatan OKU sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan golongan itu dalam pembangunan negara.

Mengulas mengenai peluang pekerjaan, Nancy memaklumkan bahawa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) turut terlibat dalam majlis tersebut bagi meneliti aspek pengambilan pekerja OKU.

“Kerajaan telah menetapkan kuota satu peratus pengambilan OKU dalam sektor awam. Namun, kementerian kami sendiri telah menggajikan hampir dua peratus pekerja OKU, melebihi sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa walaupun insentif kewangan khusus mungkin terhad, kerjasama antara kementerian tetap diteruskan mengikut kemampuan dan bidang kuasa masing-masing.

“Sebagai contoh, Kementerian Pengangkutan telah mengambil langkah memberikan kemudahan pengangkutan awam percuma kepada OKU, selaras dengan usaha memperluas akses dan sokongan,” tambahnya.

Nancy menegaskan bahawa pendekatan bersepadu antara kementerian adalah penting bagi memastikan golongan OKU tidak terpinggir dan mendapat akses yang adil kepada peluang serta kemudahan dalam semua aspek kehidupan.





#Nancy Shukri #KESUMA #OKU #kementerian