PADANG BESAR: Kerajaan Negeri Perlis akan membawa cadangan kerajaan Thailand agar prosedur operasi standard (SOP) kemasukan kedua-dua negara dipermudahkan, pada mesyuarat exco terdekat.

Exco Pelancongan Perlis Asmaiza Ahmad berkata pertemuan dengan Menteri Pelancongan dan Sukan Thailand Phiphat Ratchakitprakarn hari ini, membincangkan secara terperinci SOP yang telah ditetapkan oleh kedua-dua negara.

"Terdapat SOP yang dilihat terlalu ketat, dan pihak Thailand menerusi Menteri pelancongan telah mencadangkan beberapa perkara bagi memudahkan urusan pelancong sama ada dari Malaysia dan Thailand keluar masuk menerusi pintu sempadan Wang Kelian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pos Imigresen Wang Kelian di sini, hari ini.

Terdahulu Phiphat Ratchakitprakarn dan Gabenor Wilayah Satun Ekkarat Leesen melakukan lawatan Pos Sempadan Wang Prachan, Thailand.

Katanya pihak kerajaan negeri akan melakukan perbincangan susulan dengan Gabenor Wilayah Satun bagi menyelesaikan beberapa perkara ini.

Beliau berkata, antara perkara yang dibincangkan ialah SOP pelancong Thailand yang perlu menjalani dua kali ujian COVID-19 iaitu ujian Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) di Thailand dan Ujian Pantas (RTK) Antigen COVID-19 di negara ini.

"Kalau boleh kita ingin permudahkan kemasukan pelancong ke negara ini, kerana ia bakal memberi banyak manfaat kepada kedua-dua negara," katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Imigresen Perlis Khairul Amin Talib berkata pintu sempadan Wang Kelian kini dibuka kepada kedua-dua rakyat setiap hari bermula 8 pagi sehingga 6 petang.

"Rakyat Malaysia yang ingin ke Thailand dinasihati mendapat maklumat secukupnya mengenai SOP yang perlu dipatuhi, jika ingin memasuki negara itu agar tidak timbul sebarang masalah nanti," katanya.

--BERNAMA