Kerajaan perlu bentang Blueprint Social Safety Net Policy - Khairil Nizam

Astro Awani
Mac 4, 2024 14:12 MYT
Khairil Nizam mendakwa kenaikan cukai SST dan DST akan memberi impak kepada kenaikan harga dan kos sara hidup. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadangkan agar membentangkan Blueprint Social Safety Net Policy yang lebih komprehensif agar dapat menjamin kehidupan rakyat.
Cadangan tersebut dikemukakan Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin susulan keputusan kerajaan menaikkan cukai perkhidmatan dari enam kepada lapan peratus.
Khairil Nizam mendakwa kenaikan cukai SST dan Cukai Perkhidmatan Dogital (DST) akan memberi impak kepada kenaikan harga dan kos sara hidup.
"Walaupun diulang-ulang kepada rakyat bahawa perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi dikecualikan, namun cukai ini bakal memberi impak berantai yang sekarang dirasai oleh rakyat.
"Saya ambil contoh, tiket kapal terbang. Berlakunya penambahan kos tiket kapal terbang kerana SST lapan peratus ini.
"Perlu diingat, pengangkutan udara ini juga digunakan oleh semua lapisan masyarakat, bukannya golongan kayangan sahaja," katanya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau juga menggesa kerajaan agar mencari mekanisma yang sesuai agar rakyat di Sabah dan Sarawak dapat menikmati harga tiket yang berpatutan seperti yang dirasai sewaktu sambutan cuti Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Khairil menegaskan pengangkutan udara ini juga digunakan oleh semua lapisan masyarakat, bukannya golongan maha kaya semata-mata.
#Dewan Rakyat #Parlimen #SST #tiket kapal terbang