SHAH ALAM: Kerajaan masih berdepan jurang pembiayaan melebihi RM1.4 bilion bagi memastikan usaha pemuliharaan hutan negara dapat dilaksanakan secara berkesan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kekangan dana menjadi antara cabaran utama dalam menjayakan inisiatif konservasi, khususnya melibatkan hutan.
Advertisement
Menurut beliau, bagi menangani isu itu, kerajaan memperkenalkan Forest Conservation Certificate (FCC) sebagai mekanisme pengesahan pihak ketiga untuk menarik penglibatan syarikat dan korporat.
"Setakat ini, kementerian menyasarkan kutipan sehingga RM30.2 bilion, dengan 29 permohonan diterima daripada pelbagai syarikat di seluruh negara dan sembilan projek telah berjaya dilaksanakan," katanya selepas majlis pengiktirafan FCC sebagai platform pembiayaan konservasi hutan negara, di sini, hari ini.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, berkenan merasmikan majlis berkenaan.
Dalam perkembangan sama, satu perjanjian konservasi turut dimeterai melibatkan projek pemuliharaan gunung di Selangor dengan kerjasama Malaysia Forest Fund (MFF), Vantage Data Centre dan Your Idea Maker.
Projek itu melibatkan kawasan Hutan Warisan Diraja Selangor seluas 108,000 hektar, selain memberi tumpuan kepada pemerkasaan komuniti setempat termasuk Orang Asli di Kampung Gerachi, Pertak dan Ulu Pati.
Sementara itu, Arthur turut menegaskan komitmen kerajaan dalam memperkukuh tadbir urus alam sekitar melalui pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat, Februari lalu.
Menurutnya, pindaan tersebut bertujuan memperketat penguatkuasaan, menambah baik tadbir urus alam sekitar serta memberi kuasa perundangan kepada Sabah dan Sarawak dalam pengurusan buangan terjadual.
Beliau berharap gabungan pendekatan pembiayaan melalui FCC dan pengukuhan perundangan dapat memastikan kelestarian alam sekitar negara terus terpelihara.