KUALA LUMPUR: Kerajaan mengalu-alukan usaha pelbagai pihak dalam mengimarahkan masjid dan surau di negara ini, termasuk penaiktarafan surau Jumaat di lokasi strategik seperti pusat beli-belah serta kawasan rehat dan rawat (R&R) lebuh raya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata pihaknya kini giat memperluas kemudahan surau Jumaat di lokasi strategik berkenaan berikutan projek perintis di R&R Seremban serta di IOI Mall Putrajaya menerima sambutan menggalakkan dengan kehadiran ribuan jemaah, sekali gus membuktikan keperluan kemudahan tersebut.
Advertisement
“Jika sebelum ini pihak yang ingin membina surau Jumaat perlu memohon, kini kami pula yang turun mencari lokasi sesuai. Kita telah menggerakkan pasukan untuk mengenal pasti tempat yang berpotensi, termasuk di pusat beli-belah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan watikah Solat Jumaat Surau Irtifa’ Menara Affin dan pelancaran rasmi aplikasi UsimMasjidPro, iaitu bagi mentransformasikan pengurusan masjid dan komuniti kariah ke arah digital secara lebih sistematik, telus dan efisien di Menara Affin Tun Razak Exchange (TRX) di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Affin Bank Datuk Aqil Natt, Ahli Lembaga Pengarah USIM Datuk Dr Hasan Baharom dan Pengerusi USIM Holdings, Mohd Khair Ngadiron.
Zulkifli berkata antara lokasi yang kini sedang dinaik taraf bagi membolehkan solat Jumaat dilaksanakan ialah di beberapa pusat beli-belah termasuk Alamanda serta beberapa R&R di lebuh raya.
Beliau turut memaklumkan ketika ini Malaysia mempunyai lebih 6,784 masjid berdaftar, lebih 1,000 surau Jumaat dan lebih 18,000 surau.
Sementara itu, Mohd Khair berkata sebanyak 500 masjid di seluruh negara telah berdaftar sebagai pengguna aplikasi UsimMasjidPro yang dilancarkan hari ini, sekali gus mencerminkan tahap penerimaan yang memberangsangkan terhadap inisiatif pendigitalan pengurusan institusi masjid.
“Ia bukan sekadar sebuah aplikasi, sebaliknya satu ekosistem pintar yang memudahkan pengurusan masjid dan komuniti kariah secara digital.
"Objektif utama kami adalah untuk memudahkan serta menggalakkan budaya berinfak, yang kini boleh dilakukan hanya di hujung jari, pada bila-bila masa dan di mana jua,” katanya.
Mohd Khair berkata pembangunan aplikasi itu merupakan hasil sinergi antara USIM Holdings dengan kepakaran anak tempatan menerusi HPSC Sdn Bhd, sejajar dengan komitmen syarikat untuk memacu pemindahan teknologi tinggi dalam pengurusan institusi Islam.
Beliau berkata sistem berkenaan menggunakan akaun maya (virtual account) yang diuruskan dengan kerjasama strategik bersama Affin Bank Berhad sebagai bank penyelaras bagi memastikan setiap transaksi infak direkodkan secara sistematik, telus dan selamat.
Antara modul utama yang ditawarkan menerusi aplikasi itu termasuk pengurusan kariah dan khairat kematian secara dalam talian, takwim aktiviti masjid, waktu solat, al-Quran dan tafsir, selain siaran langsung dari Makkah.
Aplikasi itu turut menyediakan modul infak digital menerusi payment gateway atau QR Pay serta ciri ketelusan kewangan yang membolehkan hasil infak dipindahkan ke akaun masjid secara berkala berserta rekod transaksi lengkap.
Mohd Khair berkata pencapaian 500 masjid berdaftar setakat ini hanyalah permulaan, dengan potensi penyertaan ribuan lagi masjid dan surau pada masa hadapan.
“Kami melihat potensi yang amat besar untuk memperluaskan penggunaan aplikasi ini bagi memperkasakan ekonomi ummah dan memacu transformasi digital institusi masjid di Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA