KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman negara walau apa jua pun.

Beliau juga menolak dakwaan bahawa cabang eksekutif mengganggu proses badan kehakiman.

"Tiada sekelumit kebenaran pun dalam dakwaan keji ini, yang kini diulang-ulang di media sosial.

"Biar saya ulang apa yang telah saya katakan sebelum ini, sebagai Perdana Menteri, saya bukan sahaja tidak mencampuri walau sedikit pun kuasa badan kehakiman, malah saya akan mempertahankan, walau apa cara sekalipun, kebebasan badan kehakiman," kata beliau pada Perhimpunan Agung Persatuan Undang-undang ASEAN (ALA) ke-14 di sini.

Beliau berkata dalam sejarah Malaysia terdapat individu dalam badan kehakiman yang bekerjasama dengan kuasa tertentu, melakukan pelanggaran terhadap institusinya sendiri dan membiarkan kezaliman dan tindakan sewenang-wenangnya di pihak yang lain.

Anwar berkata kerajaan dan mereka yang memegang kuasa mesti bertanggungjawab atas keputusan dan tindakan mereka.

"Kerajaan perlu telus dan itu penting daripada prinsip kerajaan terbuka.

"Oleh itu, urusan dan keputusan yang tidak jujur tidak boleh digunakan untuk mengaburi mata rakyat atas nama Akta Rahsia Rasmi.

"Kemudian, ada doktrin bahawa undang-undang mesti adil dan saksama dan semua mesti mempunyai akses kepada keadilan," kata beliau.

Oleh itu, Perdana Menteri menyeru para peguam supaya menjadi pejuang keadilan, pembela untuk golongan terpinggir dan pembawa kesaksamaan.

"Kita mesti berusaha untuk memastikan keadilan bukan komoditi hanya tersedia untuk mereka yang mempunyai kemampuan kewangan, sebaliknya hak sejagat yang boleh diakses oleh semua, tanpa mengira status sosioekonomi mereka," kata beliau.

Anwar berkata sejak lima tahun lepas, negara ini menyaksikan pelbagai isu politik.

"Kedua-dua belah pihak baik, orang berprinsip dengan pandangan berbeza, namun mereka cintakan negara. Kami mungkin berbeza dalam perspektif, tetapi kami berkongsi visi kepada sesuatu yang lebih hebat. Akan ada perselisihan faham antara kita. Perdebatan sengit adalah denyutan nadi demokrasi.

"Tetapi ada juga satu titik di mana perselisihan faham menjadi gangguan dan perselisihan. Ini adalah sesuatu yang kita semua mesti berusaha untuk mengelak," kata beliau.

Anwar berkata jika pelabur terkemuka dunia meletakkan sumber yang besar ke dalam negara, "kita mesti melakukan sesuatu dengan betul" dan Malaysia kini bersedia untuk meraih faedah daripada pengimbangan semula global di mana teknologi kritikal dihasilkan.

"Sama ada semikonduktor, alat ganti kapal terbang atau peranti perubatan, Malaysia berada dalam senarai pendek untuk syarikat yang mencari keseimbangan bakat, infrastruktur dan kos yang betul sambil melindungi diri mereka daripada risiko geopolitik."

Anwar berkata beliau mendengarnya secara peribadi daripada ramai ketua pegawai eksekutif syarikat Fortune 500 yang ditemuinya di New York bulan lepas.

"Tetapi usaha untuk menarik syarikat-syarikat ini akan menjadi sia-sia jika kita meneruskan kempen tanpa henti ini untuk menggugat kestabilan dan menjejaskan kerajaan pada setiap langkah," kata beliau.

-- BERNAMA