PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Kerajaan Persekutuan untuk menangguhkan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan taksiran dan pembayaran Pemberian Khas Sabah.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan, bersama-sama Datuk Ismail Brahim dan K. Muniandy, membenarkan penangguhan sementara menunggu penyelesaian rayuan.
Advertisement
"Kami berpuas hati bahawa keadaan khas telah diwujudkan. Pemohon (Kerajaan Persekutuan) akan mengalami prejudis sekiranya penangguhan ditolak, dan rayuan itu boleh dianggap tidak berguna.
"Sehubungan dengan itu, kami membenarkan permohonan berkenaan dan memberikan penangguhan pelaksanaan mengikut usul pemohon. Kami tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kerana pemohon tidak memohon sebarang perintah mengenai kos dalam permohonannya," kata Hakim Mohamed Zaini.
Pada 17 Okt tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan dari 1974 hingga 2021.
Dalam membenarkan permohonan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) untuk semakan kehakiman, Mahkamah Tinggi juga mengarahkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk menyemak semula hak 40 peratus hasil negeri itu bagi 1974 hingga 2021, dan melengkapkan semakan dalam tempoh 90 hari serta 180 hari diberikan untuk mencapai persetujuan muktamad.
Ketika menyampaikan keputusan melalui Zoom hari ini, Hakim Mohamed Zaini berkata pemohon tidak mempunyai isu berhubung kelayakan 40 peratus itu.
Beliau berkata kebimbangan utama pemohon adalah pada perintah Mahkamah Tinggi supaya semakan itu dilakukan dalam tempoh 90 hari dan pihak-pihak mencapai persetujuan dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah.
"Tempoh 90 hari telah tamat pada 14 Jan 2026. Kami mendapati bahawa pemohon telah memulakan semakan itu dan mengadakan empat pertemuan dengan responden kedua (kerajaan Sabah).
"Tempoh 180 hari pula akan berakhir tidak lama lagi, iaitu pada 15 April 2026. Jelas bahawa pemohon berdepan dengan kekangan masa. Pemohon berhujah bahawa semakan tersebut akan melibatkan penilaian menyeluruh terhadap kedudukan kewangan mereka dan hasil bersih responden kedua dari 1974 hingga 2021.
"Hal ini memerlukan proses mengenal pasti, mengesahkan dan menyelaraskan data kewangan, dokumen yang banyak serta rekod sejarah yang merangkumi tempoh 47 tahun, dari 1974 hingga 2021," katanya.
Hakim Mohamed Zaini berkata pemohon turut berhujah bahawa Mahkamah Tinggi telah terkhilaf apabila mengarahkan semakan dilakukan dengan cara yang tidak selaras dengan rangka kerja yang diperuntukkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, khususnya dengan menetapkan tempoh masa yang ketat dan gagal menyediakan jalan penyelesaian kepada penilai bebas sekiranya berlaku perselisihan faham.
"Pada pandangan kami, pemohon akan terjejas sekiranya penangguhan tidak diberi kerana terdapat risiko sebenar ketidakpatuhan dengan tempoh masa yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi, yang dilihat membebankan berikutan skop dan kerumitan proses tersebut," katanya.
Beliau berkata perintah yang dipertikaikan mungkin tidak selaras dengan rangka kerja perlembagaan di bawah Perkara 112D, terutamanya dari segi mekanisme penyelesaian pertikaian.
"Untuk menguatkuasakan pematuhan dalam keadaan sedemikian, sebelum rayuan didengar, akan menghalang peluang pemohon untuk mengemukakan cabaran mereka. Perintah Mahkamah Tinggi juga dilihat tidak selaras dengan peruntukan Perkara 112D.
"Sebagai contoh, pemohon diwajibkan membuat pembayaran apabila Perkara 112D menetapkan bahawa, sekiranya berlaku perselisihan faham, perkara itu harus dirujuk kepada penilai bebas. Pemohon jelas akan diprejudiskan sekiranya dipaksa mematuhi perintah mahkamah tanpa peluang untuk membentangkan kes mereka dalam rayuan," katanya.
Hakim itu turut menyatakan bahawa perintah mahkamah itu bukan sahaja mengarahkan rundingan, tetapi juga mewajibkan pemohon membuat pembayaran daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan dalam masa 180 hari dari tarikh perintah oleh Mahkamah Tinggi.
"Perkara ini membawa implikasi kewangan yang serius, khususnya dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini. Di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, sebarang semakan perlu mengambil kira kedudukan kewangan pemohon berhubung keperluan responden kedua.
"Tempoh masa yang ditetapkan mungkin tidak memberikan peluang secukupnya kepada pihak-pihak untuk menentukan jumlah sebenar yang perlu dibayar.
Bayaran yang diperintahkan adalah dalam jumlah yang besar sehingga pelaksanaannya, sebelum keputusan rayuan, akan mewujudkan keadaan fait accompli.
"Pemohon telah mengesahkan bahawa mereka tidak berniat untuk melengahkan prosiding dan telah mengambil langkah untuk mempercepat pendengaran rayuan mereka," katanya.
-- BERNAMA