Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
MALAYSIA

Kerajaan Persekutuan, negeri perlu cari cara baharu bangunkan industri REE - Liew

Bernama 10/12/2025 | 11:00 MYT
Liew berkata koordinasi yang lebih baik di antara kerajaan Persekutuan dengan negeri diperlukan di bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan 1957/1963 yang memperuntukkan sumber semula jadi kepada negeri-negeri. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu mencari cara baharu untuk bekerjasama bagi membangunkan elemen industri tenaga nadir bumi (REE) yang lebih berstruktur, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong hari ini.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu bekerjasama membangunkan industri tenaga nadir bumi (REE) dengan lebih berstruktur di bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan 1957/1963.
  • Negeri-negeri perlu sokong perindustrian REE dan syarikat berkaitan kerajaan mesti bersedia melabur bagi membangunkan rantaian bekalan yang komprehensif.
  • Malaysia perlu mengambil peranan utama dalam membangunkan industri REE dari huluan hingga hiliran serta menyediakan insentif dan modal yang sesuai untuk sektor ini.


Beliau berkata koordinasi yang lebih baik di antara kerajaan Persekutuan dengan negeri diperlukan di bawah kerangka Perlembagaan Persekutuan 1957/1963 yang memperuntukkan sumber semula jadi kepada negeri-negeri.

Liew berkata negeri-negeri harus digalakkan menyokong perindustrian dan bukannya hanya memberi tumpuan kepada pengekstrakan semata-mata dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan mesti bersedia untuk melabur.

"Penting untuk diambil perhatian bahawa China muncul sebagai penapis terbesar REE manakala syarikat-syarikat AS 'gulung tikar' dalam beberapa dekad kebelakangan ini kerana REE itu sendiri bukanlah perniagaan yang sangat menguntungkan.

"Oleh itu, membina rantaian bekalan yang komprehensif merupakan kunci," katanya dalam ucapan utama pada pelancaran ringkasan dasar "From Mine to Magnet" oleh Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir pada program itu iaitu Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke dan Pengerusi ISIS Malaysia Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah.

Liew menambah Malaysia bertekad untuk membangunkan industri ini dari huluan sehingga ke peringkat hiliran selain kerajaan perlu mengambil peranan utama melalui dasar industri dan kerjasama antarabangsa.

Beliau menegaskan beberapa inisiatif diperlukan jika kerajaan ingin campur tangan dengan berkesan.

Ini termasuk membina kapasiti dan keupayaan institusi untuk memanfaatkan sektor ini serta kapasiti pengawalseliaan bagi memastikan sektor ini dibangunkan secara mampan selain memenuhi semua keperluan keselamatan.

"Malaysia merupakan pengeksport kedua terbesar dunia bagi nadir bumi yang diproses. Tetapi kita juga perlu mengakui bahawa membiarkan REE bergantung sepenuhnya kepada kuasa pasaran tanpa koordinasi institusi, ia tidak akan berkesan," katanya.

Walaupun kerajaan membuat keputusan yang tepat untuk melarang eksport REE mentah, Malaysia perlu sangat jelas dan bertekad bahawa negara ini tidak mahu menjual nadir bumi separa diproses, tetapi ingin membangunkan industri ini dari peringkat huluan sehingga ke hiliran.

Liew berkata kerajaan akan menyediakan set insentif dan modal yang sesuai untuk pengindustrian sektor ini.

"Perlu sentiasa diingat mengenai cabaran geopolitik dan geoekonomi dalam sektor ini selain membina kerjasama antarabangsa secara strategik. Namun, kita perlu ingat iaitu melakukan perkara yang sama tidak akan menghasilkan hasil yang berbeza.

"Industri REE Malaysia yang kukuh akan memberi kesan global dan ia mungkin menjadikan Malaysia kuasa pertengahan yang lebih penting, tetapi kita perlu menjadi lebih teratur," tambahnya.


-- BERNAMA


#ISIS #Perlembagaan Persekutuan #rantaian bekalan #REE