Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Kerajaan Persekutuan, Sabah kerjasama rapat dalam rundingan isu sempadan maritim

Bernama 20/08/2025 | 06:20 MYT
Datuk Mohamad Alamin berkata wakil kerajaan Sabah turut dilibatkan dalam mesyuarat-mesyuarat berkaitan serta rundingan teknikal persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sabah dalam sebarang proses rundingan dan perbincangan, bagi menyelesaikan isu persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Persekutuan sentiasa melibatkan kerajaan negeri Sabah dalam rundingan dan mesyuarat teknikal berkaitan persempadanan maritim Malaysia-Indonesia, termasuk isu Blok ND6 dan ND7.
  • Timbalan Menteri Luar menegaskan perbincangan dijalankan secara teliti dan berhemah, dengan mengambil kira pandangan Sabah bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan negara terpelihara.
  • Kerajaan belum membincangkan penamaan semula Blok ND6 dan ND7, dan kekal merujuk kawasan itu sebagai Laut Sulawesi berdasarkan Peta Baharu Malaysia 1979, bukan "Ambalat" seperti digunakan Indonesia.


Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin berkata wakil kerajaan Sabah turut dilibatkan dalam mesyuarat-mesyuarat berkaitan serta rundingan teknikal persempadanan maritim antara Malaysia dan Indonesia.

"Kerajaan Persekutuan juga sentiasa mengambil serius pandangan dan pendirian kerajaan Sabah dalam membuat apa-apa keputusan dalam memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia sentiasa terpelihara.

"Perbincangan berkaitan sempadan maritim, berlandaskan kepada prinsip perundangan dan teknikal yang dilakukan secara teliti, cermat dan berhemah," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) yang ingin tahu sama ada kerajaan negeri Sabah dilibat serta dalam perundingan melibatkan Blok ND6 dan ND7 yang telah dibincangkan Indonesia sebelum ini.

Mohamad berkata kerajaan sentiasa membuat penilaian terperinci dan menyeluruh berhubung sebarang cadangan penyelesaian, termasuk kerjasama ekonomi dalam mencari keputusan yang saling memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.

Menjawab soalan tambahan Ronald sama ada kerajaan bercadang untuk memberi nama yang lebih signifikan bagi Blok ND6 dan ND7, Mohamad berkata perkara itu belum pernah dibincangkan dan ketika ini kerajaan masih kekal menggunakan istilah berkenaan.

Sebelum ini Kementerian Luar memaklumkan bahawa Malaysia merujuk kawasan maritim yang merangkumi Blok ND6 dan ND7 yang terletak dalam Peta Baharu Malaysia 1979 sebagai Laut Sulawesi dan bukan "Ambalat" seperti yang digunakan oleh Indonesia.

-- BERNAMA



#Sabah #Kerajaan Madani #Ambalat #isu sempadan maritim