MALAYSIA

Kerajaan Persekutuan tekad perkasa JS-SEZ - PM Anwar

Bernama 27/07/2025 | 06:51 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas hari ini. - Foto Bernama
MUAR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk memperkasa Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan melonjakkan pembangunan Johor sebagai pintu masuk strategik negara.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Persekutuan komited memperkasa JS-SEZ: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dijadikan platform strategik bagi melonjakkan pembangunan Johor dan memperkukuh hubungan dua hala.
  • Pelaburan berbilion ringgit mula diterima: JS-SEZ berjaya menarik pelaburan besar dalam sektor strategik, dengan Johor mencatat RM30.1 bilion pelaburan tertinggi suku pertama 2025.
  • Kerjasama erat Malaysia-Singapura & sokongan Diraja: Rundingan Anwar dengan PM Singapura dan sokongan Sultan Johor memperkukuh pelaksanaan JS-SEZ sebagai pemacu ekonomi utama negara.


Perdana Menteri berkata usaha mewujudkan JS-SEZ bukan sahaja akan mempercepatkan aliran pelaburan ke negeri itu, malah ia membina sinergi kukuh antara dua negara dari aspek pembangunan industri, tenaga kerja dan teknologi.

"Saya sendiri telefon Perdana Menteri Singapura ketika itu dan runding. Kini dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, kita bincang dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan bawa hampir separuh kabinet turun ke Johor, tak pernah berlaku sebelum ini," katanya dalam ucapannya semasa Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 di Dataran Tanjung Emas, di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, JS-SEZ telah mula menunjukkan hasil memberangsangkan apabila berjaya menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit dalam sektor strategik.

Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam persaingan pelaburan serantau dan harus memanfaatkan kedudukan strategik Johor khususnya bersempadan dengan negara maju seperti Singapura, katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Johor Sultan Ibrahim, atas sokongan Seri Paduka Baginda dalam mengangkat potensi Johor sebagai pemacu utama ekonomi negara.

Johor mencatatkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi di Malaysia berjumlah RM30.1 bilion untuk suku pertama 2025.

Pada Januari lepas, Singapura-Malaysia memeterai perjanjian JS-SEZ semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan menarik pelaburan.

JS-SEZ adalah projek pembangunan mega yang merangkumi kawasan seperti Pembangunan Iskandar, Desaru, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai, Skudai, dan Sedenak.Zon ekonomi itu disasarkan antara lainnya menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun

-- BERNAMA



#Anwar Ibrahim #JS-SEZ #komitmen kerajaan Persekutuan #Pembangunan Johor #terkini