ALOR SETAR: Kerajaan akan mempertimbang kenaikan kadar Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) yang kini sebanyak RM300 sebulan sekiranya pendapatan negara meningkat pada masa hadapan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kebajikan nelayan sentiasa menjadi perhatian kerajaan dan keperluan golongan itu yang terus dibela mengikut kemampuan kewangan negara.

"Bila pendapatan negara bertambah, insya-Allah tuntutan nelayan ni juga akan kita cuba penuhi setakat yang mampu (ikut) kemampuan kewangan kita," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jalinan Mesra MADANI bersama nelayan Kuala Kedah di Pelabuhan Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kedah, di sini hari ini.

Mohamad berkata kestabilan politik negara di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat penting untuk dipertahankan bagi memastikan segala dasar yang dirancang demi rakyat dapat direalisasikan sebaik mungkin.

Selian itu, beliau berkata aspek kestabilan politik juga penting untuk menarik keyakinan pelabur ke Malaysia.

Sementara itu, Mohamad berkata kerajaan masih mengkaji pemberian Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) kepada pesawah berdasarkan jumlah pengeluaran hasil padi.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar SSHP daripada RM360 per tan kepada RM500 per tan berkuat kuasa semalam.

-- BERNAMA