MALAYSIA

Kerajaan pertimbang larangan telefon pintar untuk pelajar bawah 16 tahun

Seth Akmal 17/10/2025 | 07:10 MYT
Anwar (foto) menyatakan kebimbangan terhadap ketagihan digital dan kecenderungan kepada perilaku jenayah akibat pendedahan berlebihan terhadap kandungan digital.
PUTRAJAYA: Kerajaan sedang meneliti cadangan melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar berumur 16 tahun ke bawah bagi membendung pengaruh negatif media sosial dan permainan dalam talian.


Ringkasan AI
  • Kerajaan sedang meneliti cadangan melarang penggunaan telefon pintar dalam kalangan pelajar berumur 16 tahun ke bawah bagi mengurangkan kesan negatif media sosial dan permainan dalam talian.
  • Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan kebimbangan terhadap ketagihan digital dan kecenderungan kepada perilaku jenayah akibat pendedahan berlebihan terhadap kandungan digital.
  • Malaysia sedang mengkaji pendekatan terbaik berdasarkan dasar negara lain, namun garis panduan dan kod etika AI negara masih belum diumumkan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu dipertimbangkan susulan kebimbangan terhadap kesan ketagihan serta kecenderungan kepada perilaku jenayah akibat pendedahan berlebihan terhadap kandungan digital.

“Kita juga dapati kesan pengaruh media sosial dan aplikasi permainan dalam talian dan kadang-kadang menjurus kepada banyak tindakan-tindakan yang jenayah.

“Itu kita akan ambil tindakan melarang penggunaan smartphone untuk pelajar-pelajar umur 16 tahun ke bawah,” katanya.

Anwar menegaskan kerajaan perlu mengambil pendirian tegas dalam memastikan penggunaan teknologi tidak menjejaskan kesejahteraan dan tumpuan pelajar terhadap pelajaran.

Tambahnya beberapa negara sudah pun melaksanakan dasar serupa dan kerajaan kini sedang meneliti pendekatan paling sesuai untuk dilaksanakan di Malaysia.

“Penelitiannya masih lagi dibuat, tapi banyak negara telah melaksanakan. (Buat masa ini) masih mengizinkan telefon dalam kalangan anak-anak. Tetapi, saya fikir kita harus tegas dalam hal ini,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus PPAM Seruling, di sini, hari ini.

Anwar menegaskan peranan ibu bapa amat penting dalam membantu membentuk nilai dan akhlak anak-anak, selain tanggungjawab pihak sekolah dan kerajaan.

Beliau berkata, meskipun pendidikan Islam dan moral diterapkan di sekolah serta institusi tahfiz, kesedaran terhadap nilai dan kefahaman mendalam tentang akhlak masih belum benar-benar dihayati dalam kalangan pelajar.

“Dalam negara MADANI, kita tekankan soal nilai dan soal akhlak serta pendidikan. Betul, harus cemerlang, tapi perlu diteliti.

“Ramai yang terdedah kepada pendidikan Islam, termasuk di maahad tahfiz dan sekolah menengah agama, tapi kadang-kadang kesedaran itu tidak dihadam,” katanya.

Beliau turut menyeru agar Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan lebih aktif dalam memupuk semula kesedaran dan nilai murni dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata, usaha membentuk peribadi serta disiplin pelajar tidak hanya bergantung kepada sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara guru, pentadbir dan ibu bapa.

“Peranan PIBG untuk mengawal dan mengangkat semula kesedaran anak-anak ini. Saya harap pengetua, guru besar, guru-guru dan ibu bapa memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya

Beliau turut memberi jaminan bahawa Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek akan mengupas isu berkenaan dengan lebih terperinci.




#Anwar Ibrahim #telefon pintar #pelajar 16 tahun ke bawah #kesan negatif media sosial #permainan dalam talian