[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Kerajaan pertimbang peruntukan tambahan pascabencana di Sabah - PM Anwar

Khalis Khadir 19/09/2025 | 09:48 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika melakukan tinjauan lokasi tanah runtuh di Penampang, hari ini. - Gambar/ Bernama
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menilai keperluan bagi menyalurkan peruntukan tambahan untuk usaha pemulihan banjir dan tanah runtuh di Sabah.


Ringkasan AI
  • Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM10 juta sebagai permulaan untuk usaha pemulihan banjir dan tanah runtuh di Sabah, namun menilai keperluan peruntukan tambahan berikutan kerosakan meluas yang memerlukan tindakan segera.
  • Tumpuan awal diberikan kepada bantuan makanan, minuman, penempatan sementara dan kemudahan asas untuk mangsa, sebelum beralih kepada pemulihan prasarana penting seperti jalan raya dan institusi pendidikan termasuk IPG Kampus Gaya.
  • Perdana Menteri memberi jaminan laporan akhir kerosakan akan diputuskan segera di peringkat Jemaah Menteri agar peruntukan tambahan dapat disalurkan tanpa kelewatan, dengan kerjasama kerajaan negeri turut diambil kira.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini RM10 juta sudah diagihkan sebagai langkah permulaan, namun laporan awal menunjukkan terdapat banyak kerosakan yang memerlukan perhatian segera.

“Setakat sekarang ini, selain RM10 juta yang kita agihkan, keperluan lain itu kita boleh selaraskan dengan negeri.

“Sekarang kita lihat beberapa keperluan... yang tentunya memerlukan peruntukan yang lebih untuk pascapenyelesaian awal bagi isu banjir ini, dan bantu masalah mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Jumaat selepas meninjau Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini, yang terjejas akibat tanah runtuh.

Anwar menjelaskan, tumpuan awal kerajaan kini adalah membantu keluarga mangsa dari segi makanan dan minuman, termasuk penempatan sementara serta kemudahan asas.

Selepas fasa itu, katanya usaha pemulihan akan difokuskan kepada prasarana penting termasuk jalan raya dan institusi pendidikan yang terjejas akibat bencana.

“Sekarang yang penting bukan wang itu, tetapi perumahan mangsa yang terjejas, kemudahan asas mereka, keperluan sekolah anak-anak, itu yang penting kita selaraskan,” ujarnya.

Mengenai IPG Kampus Gaya yang terjejas, beliau berkata, kerajaan akan menunggu laporan akhir sama ada ia boleh dibangunkan semula di lokasi sama atau dipindahkan ke kawasan baharu dengan kerjasama kerajaan negeri.

Perdana Menteri memberi jaminan, laporan akhir berhubung segala kerosakan akan diputuskan segera di peringkat Jemaah Menteri agar peruntukan tambahan dapat disalurkan tanpa kelewatan.

Pada Isnin, Perdana Menteri meluluskan peruntukan segera RM10 juta menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membantu mangsa terjejas banjir di Sabah.

Anwar menjelaskan, jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas di kawasan terlibat.


#banjir sabah #Perdana Menteri #Anwar Ibrahim #tanah runtuh