KLANG: Kerajaan akan mempertimbangkan peruntukan tambahan RM1.1 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menangani wabak COVID-19 di Lembah Klang, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata jumlah itu telah dipohon oleh Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley di bawah KKM, dan Kementerian Kewangan telah diminta untuk mempercepatkan kelulusan tersebut.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, beliau secara dasarnya bersetuju dengan permintaan Pasukan terbabit, yang diketuai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Chong Chee Kheong.

“Saya telah mengarahkan sebuah pasukan tugasan khas di bawah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam dan lain pimpinan untuk fokus menguruskan masalah COVID-19 di Greater Klang Valley.

“Secara dasarnya saya bersetuju dengan permohonan dana yang dikemukakan KSU KKM, dan mengarahkan ia dibincangkan dengan Perbendaharaan agar perolehan berperingkat dapat dilakukan segera,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai membuat lawatan mengejut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, dengan peruntukan itu, KKM boleh meningkatkan keupayaan katil wad yang diperlukan, termasuk hospital swasta, penambahan katil Unit Rawatan Rapi (ICU), serta tenaga manusia di kawasan Lembah Klang, dengan melibatkan kos tambahan.

Berdasarkan statistik sehingga 11 Julai, jumlah jangkitan kes COVID-19 di Lembah Klang sahaja telah merangkumi 45 peratus daripada keseluruhan kes di seluruh negara.

Jumlah kematian di Lembah Klang akibat COVID-19 juga menunjukkan angka yang membimbangkan, iaitu sekitar 44 peratus daripada keseluruhan kematian di seluruh negara.

Atas sebab itu Perdana Menteri berkata, beberapa langkah lain turut diambil khusus bagi menangani kes COVID-19 yang mendadak di Lembah Klang, termasuk menukar Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang sebagai Hospital Full COVID-19, dan hospital KKM yang lain sebagai Hospital Hibrid COVID-19 kecuali Hospital Shah Alam.

Muhyiddin berkata, skop Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) MAEPS 2.0 juga telah ditukar menjadi Hospital Bersepadu MAEPS yang mempunyai fungsi sama dengan hospital KKM yang lain.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Kerajaan akan mengagihkan sebanyak 2 juta dos vaksin di Lembah Klang (Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan).

“Vaksin ini dijangka tiba pada hujung bulan ini dan akan mula digunakan pada awal bulan Ogos 2021,” katanya lagi.