Kerajaan peruntuk RM190 juta untuk 13 projek perumahan nelayan seluruh negara

Zambry (hadapan, enam, kiri) dan Muhammad Faiz (hadapan, empat, kiri) bergambar bersama para penerima sempena Penyerahan Kunci PSN Pulau Pangkor Fasa Ke-2 di Arena Terbuka Teluk Gedung, Pulau Pangkor 11 Dis 2025. -- fotoBERNAMA
LUMUT: Sebanyak RM190 juta diperuntukkan bagi pembinaan 13 Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di seluruh negara, yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun akan datang.
Ringkasan AI
- RM190 juta diperuntukkan bagi pembinaan 13 Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN) di seluruh negara, dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan lapan projek sudah diduduki dan lima dalam proses tindakan lanjut.
- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menafikan penyalahgunaan jeti LKIM oleh bot asing atau syarikat swasta, menyatakan jeti disewakan kepada pengusaha tempatan bagi Projek Pemprosesan Hasil Laut (PPHP) untuk tingkatkan hasil pendapatan negara berasaskan sumber perikanan.
- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, memaklumkan pemantauan terhadap penggunaan jeti dilakukan secara berterusan bagi mengesan dan tindakan terhadap sebarang aduan, meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan persatuan nelayan kawasan.
"Lima lagi projek yang masih dalam tindakan susulan sedang dilaksanakan dan kita harapkan ia akan disiapkan mengikut sasaran," katanya ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Arena Terbuka Teluk Gadung, Pulau Pangkor di sini semalam.
Turut hadir Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak Datuk Zolkafly Harun
Sebanyak 139 unit kediaman dengan peruntukan berjumlah RM24.4 juta telah diperuntukkan bagi pembinaan projek yang bermula pada 2014. Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 90 unit diserahkan pada 2019 dan 2022, manakala 49 unit lagi diserahkan semalam kepada penerima yang layak.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz berkata LKIM menafikan wujud penyalahgunaan jeti LKIM oleh bot asing atau syarikat swasta, yang berpotensi mengganggu gugat pendapatan nelayan-nelayan kecil.
Beliau berkata sebaliknya, jeti yang didakwa disalah guna itu disewakan kepada pengusaha tempatan bagi Projek Pemprosesan Hasil Laut (PPHP), untuk memastikan fasiliti digunakan sepenuhnya dan memberi manfaat kepada pengusaha tempatan.
"Tak timbul sebenarnya isu penyalahgunaan jeti ini, kerana ada beberapa kemudahan ini yang bersambung dengan projek PPHP. Jadi, untuk memastikan jeti tersebut dioptimumkan, kita sewakan kepada mereka yang layak.
"Ini juga antara strategi meningkatkan hasil pendapatan negara berasaskan sumber perikanan melalui pelbagai kaedah," katanya.
Pada 19 Nov, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dilaporkan berkata pemantauan terhadap penggunaan jeti dilakukan secara berterusan melalui kerjasama LKIM negeri, persatuan nelayan kawasan dan pihak berkuasa tempatan, bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap sebarang aduan, termasuk melibatkan bot swasta atau pencerobohan yang menekan pengusaha kecil.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


