Kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP pada Selasa dibidas kerana gagal mengambil langkah-langkah untuk menangani kenaikan kos Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Pengerusi Gerakan Bayan Baru Teh Leong Meng berkata, beliau akan menyokong cadangan yang "lebih murah dan efektif" untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini tetapi membantah projek yang dijalankan secara rahsia tanpa ketelusan dan akauntabiliti.

Katanya, Kerajaan Negeri harus mendedahkan semua maklumat penting seperti unjuran kewangan, maklumat teknikal dan pilihan sistem pengangkutan kepada orang ramai.

"Kami ingin mengetahui apakah rancangan Kerajaan Negeri untuk menghadapi peningkatan kos projek kerana sebuah kumpulan NGO, Penang Forum mendakwa bahawa kosnya telah meningkat daripada RM27 bilion kepada RM46 bilion," kata beliau kepada pemberita di sini pada Selasa.

Rabu lepas, Penang Forum, gabungan kumpulan masyarakat madani, menjangka bahawa kos PTMP akan meningkat sehingga RM46 bilion dan menggesa kerajaan negeri memperkenalkan sistem tram moden untuk menggantikan sistem transit aliran ringan (LRT) membabitkan kos yang tinggi.

Bagaimanapun, Teh juga mendakwa bahawa tiga pulau buatan manusia yang dicadangkan di selatan negeri itu mungkin tidak cukup untuk melaksanakan projek jika kosnya terus meningkat.

Beliau berkata PTMP Pulau Pinang mempunyai risiko kewangan yang besar dan rakyat tidak diberitahu berhubung projek membentuk tiga pulau buatan manusia tentang bagaimana ia sepatutnya membiayai PTMP dan jumlah kos yang terlibat.

Projek mega yang menelan kos RM27 bilion itu dicadangkan sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan di Pulau Pinang melibatkan sistem pengangkutan bersepadu lebuh raya, laluan LRT, bas, feri dan terowong dasar laut.

Bagaimanapun, PTMP dikecam hebat kerana ia melibatkan rancangan penambakan laut selain kosnya yang tinggi.