Kerajaan pusat akan kaji fenomena 'air termenung' di Tumpat

Muhafandi Muhamad
Disember 4, 2017 03:28 MYT
Kajian bakal merangkumi sistem perparitan termasuk ke mana air tersebut akan dialirkan. - Gambar fail
Fenomena air termenung dihadapi oleh penduduk di jajahan Tumpat memerlukan kajian menyeluruh kerana ia memakan masa sehingga dua minggu untuk surut.
Menurut Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, kajian merangkumi sistem perparitan termasuk ke mana air tersebut akan dialirkan.
"Kajian menyeluruh perlu dibuat kerana kita tidak boleh selesaikan masalah ini. Pada pandangan mata kasar terutamanya sistem perparitan, apakah punca banjir termenung, masalah air nak keluar dan sebagainya, mesti ada pelan tindakan. Saya yakin perkara ini dalam perhatian pihak tertentu," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Sandang Kehormat Persatuan Seni Silat Gayung di sini malam tadi, beliau mengakui fenomena air termenung atau air mati itu menyebabkan mangsa banjir di Tumpat berada lebih lama di pusat pemindahan banjir.
Katanya, tindakan sedang diambil pihak berkaitan bagi menyelesaikan masalah banjir termenung di Tumpat itu.
Kerajaan pusat juga tidak akan membiarkan keadaan itu berlarutan kerana peruntukan sudah ada namun perlaksanaannya memerlukan masa kajian menyeluruh.
Pada masa ini, seramai 3,328 orang mangsa banjir di jajahan Tumpat masih berada di lapan buah pusat pemindahan melibatkan penduduk di Kampung Bendang Pak Yong, Teluk Jering, Kampung Ana dan Jejulok.
#air termenung #banjir #banjir termenung #banjir tumpat #Jejulok #Kajian #kajian menyeluruh #Kampung Ana #Kampung Bendang Pak Yong #Teluk Jering #termenung #Tumpat