KANGAR: Kerajaan Pusat bersetuju menghapus kira pinjaman kerajaan Perlis berjumlah RM185.41 juta susulan pelaksanaan Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, keputusan ini bakal mengurangkan pinjaman bekalan air kerajaan negeri daripada RM230.74 juta kepada RM45.33 juta.

Baki pinjaman ini akan diambil alih Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan disusun semula pembayaran balik menerusi sewa pajakan yang dikenakan kepada Syarikat Air Perlis (SAP).

"PAAB akan ambil alih hutang tersebut dengan jangka panjang 45 tahun di mana Syarikat Air Perlis akan bayar balik dalam tempoh 40 tahun dan kita bagi lima tahun untuk kerajaan negeri membangunkan sumber air melalui perbadanan aset air negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Menandatangani Perjanjian Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, pada Khamis.

Tuan Ibrahim berkata, pelaksanaan skim itu bersifat jangka panjang di mana kemapanan kewangan operator air akan dibina bagi mencapai pemulihan kos operasi dan seterusnya mencapai pemulihan kos penuh.

Pelan yang dimeterai ini akan secara berperingkat mengutuhkan kewangan operator air sehingga mencapai pemulihan kos operasi sebelum tiba kepada fasa pemulihan kos sepenuhnya.

Kejayaan ini akhirnya akan melonjakkan industri perkhidmatan air sebagai pemacu ekonomi negara dan memacu pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat Perlis.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, Perlis menjadi negeri kelapan menandatangani perjanjian berkenaan dan pihaknya menjangkakan gangguan bekalan air negeri dapat dikurangkan secara beransur.

Sebelum ini, kadar gangguan bekalan air di Perlis adalah sekitar 63 peratus dan secara keseluruhan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Isu air Perlis ni sebenarnya dia agak tenat kerana itu lah kita dapati bahawa NRW (kadar air tidak terhasil) dia tinggi sehingga 63 peratus.

"Jadi, penyelesaian kepada masalah ini memerlukan (penyelesaian) jangka panjang sebenarnya dan sekarang ini kita sedang melakukan proses untuk memperbaiki ataupun menggantikan paip-paip ini, pertama sekali seperti yang kita sebutkan tadi paip utama dan juga di dalam sistem retigulasi," ujarnya.