Kerajaan putus tidak akan adakan pilihan raya PBT - Zuraida

Umavathi Ramayah
Ogos 6, 2020 07:47 MYT
Zuraida Kamaruddin memberitahu, PBT masih belum bersedia untuk mengadakan pilihan raya tempatan. - Gambar fail/BERNAMA
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menegaskan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan untuk tidak melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan.
Beliau memberitahu, ini kerana masyarakat dan pihak berkuasa tempatan (PBT) masih belum bersedia untuk melaksanakan pilihan raya itu.
"Kerajaan PN, tidak akan laksanakan pilihan raya kerajaan tempatan, yang saya juga melihat ia sebagai satu perkara drastik.
"Masyarakat dan PBT kita masih tak bersedia untuk melaksanakannya," katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) yang bertanyakan sama ada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia untuk menjemput komuniti atau persatuan tertentu menghadiri mesyuarat PBT sebagai pemerhati dalam usaha untuk menyemarakkan lagi sistem demokrasi.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Zuraida turut memberitahu sebahagian besar PBT di seluruh negara tidak menaikkan cukai taksiran sejak hampir 20 tahun.
Katanya, keadaan itu menyebabkan PBT menghadapi masalah kekurangan dana sekaligus menghadkan pelaksanaan pembangunan di kawasan terbabit.
#Dewan Rakyat #Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan #kerajaan #Parlimen #pbt #pilihan raya #pilihan raya tempatan #rakyat #Zuraida Kamaruddin