KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkongsi Pencapaian Ketepatan Waktu bagi penerbangan domestik di Dewan Rakyat pada Khamis. 

Menurut beliau, syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines merekodkan pencapaian 79 peratus untuk suku ketiga 2023, menurun sedikit berbanding 82 peratus yang direkodkan pada suku kedua tahun yang sama.

Beliau berkata, SKS Airways pula merekodkan ketepatan waktu tertinggi dengan 95 peratus manakala  Malaysia Airlines dan AirAsia terendah, pada kadar 74 peratus.

Justeru, katanya, kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) merancang untuk mengambil tindakan sekiranya syarikat penerbangan gagal mematuhi kod perlindungan pengguna penerbangan Malaysia berkait tidak menepati waktu.

“Ini sesuatu yang kita akan cari satu pendekatan bagaimana meletakkan  satu sasaran prestasi mengikut masa (on time performance).

“Kalau mereka tak dapat mencapai prestasi mengikut masa itu, maka kemungkinan ada sesuatu tindakan yang akan diambil.

“Namun begitu, ada pelbagai faktor yang perlu diambil kira. Bukan satu faktor sahaja, iaitu syarikat penerbangan.

“Memang kita akan sentiasa memantau dan kita akan minta syarikat penerbangan ini dapat menguruskan jadual penerbangan mereka dengan lebih baik,” katanya di Dewan Rakyat.

Tambah beliau, terdapat pelbagai faktor yang menjadi punca kepada kelewatan penerbangan dan ada antaranya di luar kawalan syarikat penerbangan seperti cuaca.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai adakah kerajaan akan memberikan amaran dan mendenda syarikat penerbangan yang gagal menepati waktu.