Kerajaan salur RM1 bilion setahun untuk kelangsungan Felda - PM Anwar

Astro Awani
Julai 7, 2023 11:27 MYT
Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menyalurkan RM1 bilion setiap tahun untuk tempoh 10 tahun kepada Felda melalui terbitan sukuk. - Foto BERNAMA
SERDANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kerajaan akan menyalurkan RM1 bilion setiap tahun untuk tempoh 10 tahun kepada Felda melalui terbitan sukuk bagi memastikan kelangsungan agensi rancangan tanah berkenaan.
Beliau berkata, peruntukan itu diluluskan bulan lalu oleh Kementerian Kewangan (MoF).
Selain peruntukan itu, Anwar ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka Felda 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini turut memaklumkan, kerajaan membuat ketetapan untuk meluluskan beberapa peruntukan seperti berikut:
  • Kerajaan juga meluluskan peruntukan RM21 juta bagi pembinaan pusat hemodialisis bagi kegunaan 2,000 pesakit di kawasan rancangan Felda.
  • Sebanyak 283 unit Perumahan Generasi Baharu Felda (PBGF) akan disiapkan segera oleh kerajaan.
  • Menjadikan Felda sebagai peneraju transformasi digital menerusi program Digital MADANI bagi memperkasa ekonomi gig. Program dengan kerjasama MDEC ini akan dilaksanakan di 30 Pusat Ekonomi Digital di seluruh negara.
  • Menanggung perbelanjaan kos operasi bagi 37,012 lampu jalan di rancangan Felda seluruh negara. Ini melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM7.7 juta setahun.
  • Kerajaan akan membina 12 buah Pusat Hemodialisis dengan peruntukan RM21 juta di kesemua wilayah Felda dan sebuah lagi di premis Yayasan Felda di Kelana Jaya.
  • Kerajaan memperkenalkan insentif khas Sumbangan Kesihatan Rahmah (SKR) sebanyak RM300 bagi warga peneroka berumur 65 tahun ke atas dengan peruntukan keseluruhan RM21.21 juta yang bakal memberi manfaat kepada 70,715 peneroka.
  • Menstruktur semula pinjaman melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda. Ini juga membolehkan Felda memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.
  • [TERKINI] Ucapan Perdana Menteri sempena Hari Peneroka FELDA
    #Anwar Ibrahim #Felda #Kementerian Kewangan #RM1 bilion