Kerajaan Sarawak sokong usul beku akaun bank suami

Nuzuluddin Abdul Razak
Mac 22, 2022 06:57 MYT
Jelas Fatimah, tanggungjawab khusus seperti sara hidup adalah di bawah tanggungjawab suami.
KUCHING: Kerajaan Sarawak menyokong sepenuhnya usul menyekat dan membekukan akaun bank suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri.
Sambil menyifatkan ia usul yang penting, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, perkara tersebut juga dapat membela nasib golongan wanita yang ditindas oleh bekas pasangan.
Menurutnya, isu tersebut sering dihadapi oleh wanita yang bercerai terutama melibatkan pasangan yang tidak bekerja dalam sektor kerajaan atau swasta.
“Kalau suaminya adalah seorang kakitangan kerajaan maka arahan untuk pemotongan dibuat sebagai nafkah kepada isteri adalah mudah tetapi tidak bagi suami yang bekerja di sektor swasta yang mana pemotongan secara automatik melalui slip gaji tidak boleh dilakukan oleh kerajaan.
“Walaupun ada perintah diberikan mahkamah supaya suami membayar nafkah kepada isteri... kita mendapati bahawa ada di antara mereka ini yang tidak mahu membayar nafkah dan pembayaran bulanannya juga tidak tetap, usul ini akan membela nasib wanita," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Geran Kawasan Rukun Tetanga (KRT) sejahtera Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Sarawak tahun 2022 di Dewan Suarah Samarahan pada Selasa.
Tegas Fatimah, pihaknya sentiasa membantu menerusi skim yang ada di bawah kementerian itu terutama kepada anak-anak pasangan yang terlibat.
Bagaimanapun tegasnya, tanggungjawab khusus seperti sara hidup adalah di bawah tanggungjawab suami.
“Kita hanya memberi bantuan melalui skim kanak-kanak, ini bantuan bukannya penyaraan jadi kita masih memerlukan bantuan daripada si suami, maka kita selalu mengatakan kepada suami walaupun sudah bercerai, dia (suami) masih menjadi bapa kepada anak-anaknya.
“Dengan itu tanggungjawab suami sebagai seorang bapa walaupun sudah bercerai dengan isteri masih kekal iaitu dari segi kasih sayang, dan nafkah harus diberi kepada anak-anak juga walaupun sudah tidak ada hubungan suami isteri,” katanya.
Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan menyekat atau membekukan akaun bank golongan suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri.
Beliau berkata, tindakan itu dibuat kerajaan bagi memastikan kepentingan dan hak wanita dapat terus dijaga kerana lazimnya bekas isteri sukar untuk mendapatkan nafkah selepas perceraian.
Selain itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun berkata, kementeriannya akan memastikan pelaksanaan pembekuan akaun bank bekas suami yang culas membayar nafkah kepada bekas isteri dilaksanakan tahun ini.
#Sekatan akaun bank suami #cerai #nafkah isteri #Fatimah Abdullah