[LAPOR LANGSUNG] Sumud Flotilla ke Gaza – Perjalanan kini Semakin Hampir. Ikuti perkembangan di sini
MALAYSIA

Kerajaan sasar bersihkan "kekacauan" rasuah dalam tempoh tiga tahun - PM Anwar

Bernama 30/09/2025 | 15:57 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu memerlukan ketegasan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat, sama ada menteri, ketua setiausaha (KSU), ketua pengarah (KP) mahupun mereka yang telah bersara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan untuk membersihkan segala bentuk penyalahgunaan kuasa dan "kekacauan" rasuah dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, terutamanya yang melibatkan "jerung" atau individu berprofil tinggi.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan komited membersihkan rasuah dan salah guna kuasa dalam tempoh 2-3 tahun, termasuk memburu -jerung- berprofil tinggi.
  • Anwar menekankan keutamaan tindakan terhadap kes besar tetapi tetap tidak mengetepikan -ikan bilis-, sambil menegur ahli politik yang mempertahankan pelaku rasuah.
  • Beliau menegaskan reformasi institusi mesti dilaksanakan secara menyeluruh demi integriti, tadbir urus baik dan kesejahteraan rakyat.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu memerlukan ketegasan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat, sama ada menteri, ketua setiausaha (KSU), ketua pengarah (KP) mahupun mereka yang telah bersara.

"Saya ingat kalau boleh, dalam dua tiga tahun, kita bersihkan kekacauan ini. Mesej jelas. (Sama ada) anda menteri, KSU, atau KP, kalau nampak salah laku, kita akan cari anda. Jika bukan hari ini, maka hari esok. Jika bukan esok, tahun depan. Anda pencen pun kita dapat bukti semasa anda berkuasa, kita akan cari anda.

"Saya percaya kalau dalam dua tiga tahun, kita cuba ... dan tadi dicadangkan, kalau nak perkukuh lagi PDRM (Polis Diraja Malaysia) atau badan-badan penguatkuasaan, saya tidak ada halangan," kata beliau dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 8 dengan topik "Integriti dan Kepimpinan Nasional: Iltizam dan Reformasi Holistik dan Sistemik", malam ini.

Anwar turut menyentuh cabaran dalam membanteras rasuah berprofil tinggi, yang disifatkannya lebih sukar berbanding kes berprofil rendah kerana individu yang digelar "jerung" memiliki sumber dan pengaruh besar, termasuk dalam kalangan media dan pimpinan politik.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata tindakan terhadap "ikan bilis" atau pelaku berprofil rendah juga tidak akan diketepikan, malah akan meneruskan langkah pembersihan itu walaupun berdepan tentangan.

"Kalau tengok keutamaan yang saya berikan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), jerung dahulu. Tetapi, tidak bermakna kita harus biarkan ikan bilis itu merayap sehingga jadi terlalu besar," kata beliau.

Pada masa sama, Anwar turut mempersoalkan sikap segelintir Ahli Parlimen yang dilihat mendiamkan diri, malah mempertahankan pelaku rasuah walaupun bukti berbilion ringgit kekayaan telah dikumpul secara tidak sah.

Beliau berkata pengalamannya sebelum ini yang pernah dipenjara, dipukul dan dihina bukanlah isu besar, namun menegaskan tindakan mencuri kekayaan negara ialah satu bentuk hipokrasi yang tidak boleh dimaafkan.

"Soal saya dipenjarakan, soal saya dipukul, diaibkan, itu saya tidak jadikan isu. Saya boleh maafkan. Tetapi, curi daripada negara, berbilion (ringgit), itu sejujurnya hipokrasi.

"Kalau ada bukti, itu terserah kepada SPRM siasat, hakim memutuskan. Bukan urusan saya. Urusan saya, wang yang diambil dan dipunggah berbilion (ringgit) kekayaan yang tidak sah, mesti dipulangkan kepada rakyat," kata beliau.

Sementara itu, Anwar turut menekankan bahawa reformasi institusi tidak boleh dilaksanakan secara separuh jalan, sebaliknya memerlukan usaha untuk memberikan pencerahan kepada rakyat, berteraskan nilai, ilmu dan kefahaman terhadap tanggungjawab kepimpinan.

Terdahulu, Anwar hadir sebagai moderator pada Forum Ilmuan Malaysia Siri 8 yang berlangsung di Institut Integriti Malaysia (IIM), di sini.

Forum itu menampilkan ahli panel terdiri daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif IIM Datuk Ahmad Ramdzan Daud dan Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dalam forum berkenaan, Anwar turut mendengar pandangan ahli panel serta hadirin mengenai keperluan melaksanakan reformasi yang holistik dan sistemik bagi memperkasakan nilai integriti dalam kepimpinan, terutamanya dalam menangani isu tadbir urus, salah guna kuasa dan rasuah.

FIM anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadi platform interaktif untuk membincangkan cabaran dan pendekatan strategik ke arah memperkukuh kepimpinan nasional yang berasaskan nilai integriti selain sebahagian daripada pendekatan Malaysia MADANI yang mengangkat peranan ilmu dan wacana terbuka dalam membentuk dasar serta pembangunan negara secara menyeluruh.

-- BERNAMA


#bersihkan kekacauan rasuah #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #jerung #berprofil tinggi