MALAYSIA

Kerajaan sasar penurunan kes denggi dalam 2 bulan

Harits Asyraf Hasnan 14/07/2014 | 10:16 MYT
Jawatankuasa Bertindak Tangani Wabak Denggi ditubuh
Kerajaan menyasarkan penurunan peratusan kes denggi dalam tempoh dua bulan menerusi penubuhan Jawatankuasa Bertindak Tangani Wabak Denggi.

Sasaran itu tertumpu kepada 492 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di 13 negeri seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata kerajaan telah menggariskan 8 teras utama dalam pelan tindakan tersebut.

Selain merangka dan membentuk pelan tindakan bersepadu yang lebih komprehensif, jawatankuasa itu turut mengenalpasti keperluan sumber yang diperlukan oleh pelbagai agensi bagi memastikan wabak denggi dapat ditangani dengan efektif.

"Pertamanya kita hendak pastikan supaya tindakan yang kita ambil ini di bawah pasukan petugas mesti berkesan, bersepadu dan ditetapkan dalam tempoh dua bulan.

"Diharapkan ada kesan-kesan positif iaitu penurunan daripada jumlah-jumlah kes yang sedang kita lihat berlaku sekarang ini," katanya.

Untuk merealisasikan sasaran itu, bajet tambahan untuk penyediaan sumber manusia serta kemudahan kesihatan turut dicadangkan.

"Kita akan kemukakan kepada pihak kerajaan untuk menimbang bajet tambahan yang diperlukan termasuk juga soal sumber manusia," ujarnya.

Tambah Muhyiddin, penekanan dikhaskan kepada kawasan Lembah Klang yang menyumbang 66 peratus daripada keseluruhan kes denggi yang dilaporkan di negara ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menetapkan sebarang sasaran penurunan kes denggi selepas dua bulan pelaksanaan jawatankuasa tersebut.

Muhyiddin berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi 2014 di Bangunan Putra Perdana pada Isnin.

Jawatankuasa tersebut bukan sahaja melibatkan Kementerian Kesihatan malah melibatkan tujuh kementerian lain bersama dengan semua Setiausaha Kerajaan Negeri.

Justeru, beliau mengarahkan kerjasama antara semua kementerian-kementerian terlibat termasuk di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan masyarakat setempat.

Muhyiddin juga menyatakan kesediaan turun padang untuk memastikan kempen perangi denggi memberi impak yang besar.

Statistik menunjukkan bermula Januari hingga 12 Julai lalu, kes denggi yang dilaporkan adalah 48,845 kes iaitu peningkatan sebanyak 34,719 kes atau 246 peratus berbanding hanya 14,126 kes bagi tempoh yang sama tahun 2013.

Manakala, sebanyak 92 kematian akibat demam denggi dilaporkan, meningkat 229 peratus (64 kematian) berbanding 28 kematian pada tahun 2013.

Daripada 492 lokaliti wabak yang aktif, terdapat 86 lokaliti kawasan panas 'hot spot' dilaporkan di seluruh negara iaitu sebanyak 72 di Selangor, 8 di Kelantan, 5 di Negeri Sembilan dan 1 di Sarawak.
#denggi #Tan Sri Muhyiddin Yassin #TPM