ALOR GAJAH: Kerajaan menyasar untuk menandatangani 50 perjanjian persefahaman (MoU) dengan pemain industri bagi segmen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara, menjelang hujung tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata MoU berkenaan merupakan jalinan kerjasama antara kesemua institusi TVET di bawah 12 kementerian, bertujuan memberi pendedahan terkini dalam melahirkan pekerja berkemahiran.

"Setakat ini, kita telah tandatangan MoU dengan 24 syarikat dan saya yakin sasaran untuk menjalin kerjasama dengan 50 pemain industri menjelang hujung tahun akan tercapai.

"Kita telah merangka strategi untuk jalinan kerjasama ini bagi memberi manfaat kepada institusi TVET dalam negara," katanya kepada pemberita pada Program Jejak TVET MADANI Alumni Institut Latihan Perindustrian (ILP) Bukit Katil di Taman Lesung Batu Emas di sini pada Rabu.

Mustapha berkata menerusi jalinan kerjasama itu, syarikat berkaitan akan mengajar mengenai kepakaran dan pendedahan teknologi terbaharu kepada institusi TVET.

Syarikat juga akan menyediakan peralatan yang diperlukan ketika proses pembelajaran sekali gus memudahkan pelajar memahami teknologi diperkenalkan industri, serta berpeluang untuk berkhidmat dengan pemain industri yang menjalin kerjasama terbabit.

-- BERNAMA