Skip to main content

Malaysia

Kerajaan sedia nilai kerjasama tubuh Zon Ekonomi Khas Sabah - Kementerian Ekonomi

Kementerian Ekonomi
Menurut Kementerian Ekonomi, pembangunan ekonomi di Sabah adalah berhubung kait dan juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi merentasi sempadan di kawasan sub serantau BIMB-EAGA.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersedia menilai kerjasama yang sesuai sekiranya Kerajaan Negeri Sabah berhasrat menerajui transformasi ekonomi negeri melalui penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ), menurut Kementerian Ekonomi.

Kementerian Ekonomi memaklumkan bahawa dokumen BIMP-EAGA Vision 2035 (BEV2035) yang telah dipersetujui ketika Sidang Kemuncak Khas Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP–EAGA) di Filipina pada Mei lepas, keseluruhan Sabah telah dirangkumkan pada dua koridor ekonomi.

“Ini bermakna pembangunan ekonomi di Sabah adalah berhubung kait dan juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi merentasi sempadan di kawasan sub serantau BIMB-EAGA,” menurut kementerian itu dalam jawapan dikeluarkan di laman sesawang Parlimen pada Isnin.

Dua Koridor Ekonomi tersebut ialah Koridor Ekonomi West Economic Corridor - fokus kepada  logistik dan pengangkutan, pembuatan dan perusahaan, pelancongan, perkhidmatan digital dan kewangan, dan  Koridor Ekonomi Central Economic Corridor – fokus kepada perdagangan rentas sempadan, industri halal, logistik dan rantaian bekalan.

“Bagi mempertingkatkan pembangunan di Koridor Ekonomi, BEV2035 telah menetapkan hala tuju penubuhan Kumpulan Kerja untuk memudahcara kerjasama antara zon ekonomi berbeza merentasi sempadan.

“Dalam hal ini, penyelarasan dasar yang agresif dan tepat akan memastikan Sabah tidak hanya kekal sebagai peserta geografi dalam BIMP-EAGA, tetapi muncul sebagai hab ekonomi dan pusat pertumbuhan yang kritikal di Asia Tenggara,” menurut Kementerian Ekonomi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement