Kerajaan sedia semak semula akta berkaitan peruntukan kewangan

Hafiz Marzukhi
Julai 18, 2018 05:12 MYT
GUAN ENG: Kerajaan persekutuan berharap semua kerajaan negeri dapat memberikan masa kepada kami untuk memulihkan keadaan fiskal di Putrajaya.
Kerajaan sedia mempertimbangkan cadangan untuk menyemak semula akta-akta yang tidak lagi relevan berhubung pengagihan peruntukan kewangan kepada kerajaan negeri.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan ingin memastikan semua kerajaan negeri mendapat layanan yang adil dan pada masa sama meningkatkan urus tadbir yang lebih baik.
"Cadangan untuk menimbang peruntukan yang diberikan kepada negeri-negeri tertakluk kepada Perkara 109 (1) (Pemberian kepada Negeri) Perlembagaan Persekutuan.
"Sebarang cadangan perlu dibawa kepada Majlis Kewangan Negara untuk rundingan," katanya.
Tambah Guan Eng, beliau bersetuju dengan pandangan mengenai keperluan untuk melihat semula serta menimbang cadangan yang disyorkan.
"Walau bagaimanapun, kerajaan persekutuan berharap semua kerajaan negeri dapat memberikan masa kepada kami untuk memulihkan keadaan fiskal di Putrajaya," kata Guan Eng ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir (PH-Jerlun) mengenai cadangan untuk menilai semula hubungan kewangan antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan berkaitan perkongsian hasil kutipan cukai.
#akta #kerajaan #kerajaan negeri #kewangan #Lim Guan Eng #Majlis Kewangan Negara #Menteri Kewangan #Mukhriz Mahathir