Kerajaan Negeri Selangor akan terus mempertingkatkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membanteras premis judi haram di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata kerajaan negeri telah mengambil tindakan terhadap 4,541 pengusaha premis judi haram di seluruh negeri itu sepanjang 2015.

Malah, hingga Jun tahun ini, 1,293 pengusaha premis judi haram telah diambil tindakan penguatkuasaan termasuk satu pengusaha dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.

"Kerajaan negeri memang memandang serius tentang isu judi haram di negeri Selangor. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis sentiasa mengambil tindakan bersepadu menjalankan tugas kita.

"Selain itu, di peringkat negeri, kita juga ada cadangan untuk memantapkan Undang-Undang Kecil dan juga memberi syarat-syarat tertentu supaya kita dapat mengawal isu judi haram," katanya di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang dikemukakan Shahrum Mohd Sharif (BN-Dengkil) yang meminta dinyatakan sejauh mana bidang kuasa kerajaan negeri untuk membanteras judi haram di Selangor.

Selain itu, tegas beliau, dalam operasi bersepadu PBT bersama polis, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut bekerjasama untuk memutuskan bekalan air dan elektrik kepada premis yang menjalankan aktiviti judi haram.

Sehingga kini, menurutnya, sebanyak 21 unit premis judi telah diluluskan di seluruh negeri.

Tambah Yong, selain Akta Pencegahan Jenayah 1959, pengusaha premis judi haram juga boleh dikenakan tindakan menerusi Seksyen 4B(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1995 Negeri Selangor serta Seksyen 3 Akta Kerajaan Tempatan.