Kerajaan negeri Selangor perlu bersikap terbuka dan tidak mudah melatah berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dakwaan berlaku penyelewengan melibatkan Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Universiti Selangor (UNISEL).

Anggota Jawatankuasa Khas Parlimen Menangani Rasuah (JKMR), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berkata sebagai sebuah badan bebas, SPRM pastinya menjalankan siasatan itu hasil daripada aduan serta maklumat yang diterima dan bukan kerana tekanan politik.

"SPRM hanya menjalankan tugas. Saya harap pembangkang jangan bermain wayang dan juga jangan mempolitikkan siasatan suruhanjaya itu ke atas UNISEL dan MBI. Kerajaan negeri kena profesional sebelum minta SPRM bertindak profesional.

"Nasihat saya, jangan buat tuduhan memperlekehkan SPRM dan mengeluarkan kenyataan beremosi sebaliknya bertindak positif dan perlihatkan politik matang," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Beliau berkata tuduhan tidak berasas dan sembrono oleh kerajaan negeri Selangor serta pihak tertentu terhadap suruhanjaya itu dilihat tidak wajar kerana pembangkang sendiri pernah menuntut SPRM mengambil tindakan ke atas setiap aduan yang diterima.

Irmohizam yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor berkata tindakan terbaru SPRM itu masih pada peringkat siasatan dan tidak sewajarnya dikecam sebagai satu pendekatan berniat jahat yang dipengaruhi politik atau kepimpinan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Katanya SPRM juga pernah membuat siasatan dalam kalangan pemimpin kanan UMNO dan BN selain beberapa kes melibatkan pegawai atasan kerajaan di negeri yang ditadbir oleh UMNO seperti Johor, Sabah dan Melaka.

"Apakah SPRM bertindak mengikut sesuka hati? Saya pasti tidak, kerana apabila SPRM menyiasat, BN tidak pernah mengecam atau mengkritik cuma yang mendakwa suruhanjaya itu bermain 'wayang' adalah pembangkang.

"Saya yakin siasatan SPRM ke atas kedua-dua institusi itu membuktikan komitmen suruhanjaya berkenaan dalam mencegah rasuah," katanya.

Pada Selasa lepas, MBI iaitu anak syarikat kerajaan Selangor disiasat atas dakwaan penyelewengan pembayaran RM16 juta kepada sebuah syarikat swasta.

Susulan itu, lima lokasi telah diserbu pasukan siasatan SPRM iaitu pejabat UNISEL di sini, dan Bestari Jaya, pejabat syarikat swasta itu di Desa Pandan, Kuala Lumpur dan Bestari Jaya serta pejabat MBI di Seksyen 14, di sini.

Syarikat swasta yang dikatakan menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kediaman pelajar di kampus induk UNISEL di Bestari Jaya, Kuala Selangor itu didakwa masih menerima bayaran daripada MBI sedangkan kontrak syarikat itu telah ditamatkan oleh UNISEL pada tahun 2012.

-- BERNAMA