BANGI: Kerajaan bersetuju membenarkan pengambilan pekerja asing khusus untuk sektor perladangan di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), kata menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan oleh Menteri Dalam Negeri kepadanya yang memutuskan hanya sektor perladangan pada masa ini yang dibenarkan untuk mengambil pekerja asing.

"Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia bersetuju bahawa pekerja asing selain sektor perladangan tidak dibenarkan masuk lagi tetapi untuk industri perladangan ia terbuka dan diberi peluang.

"Setakat kaji selidik sehingga Disember 2023, kita menganggarkan seramai 40,000 pekerja diperlukan ketika ini, tetapi mana-mana syarikat yang terlibat dalam perladangan perlu mengemukakan permohonan (pengambilan pekerja asing),” katanya kepada media pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2023, di sini.

Johari turut menegaskan syarikat yang ingin membuat permohonan pengambilan pekerja asing untuk industri perladangan perlu memastikan kehendak spesifik pekerjaan di ladang dan bukan dalam sektor lain.

"KPK juga akan memastikan sesiapa yang membawa masuk pekerja asing akan menyediakan tempat tinggal yang elok dan sempurna kerana kita tidak mahu timbul isu pekerja asing dianggap dalam keadaan buruh paksa.

"Saya difahamkan oleh menteri KDN, mana-mana syarikat yang membawa masuk pekerja asing ke dalam negara kemudian tidak ada kerja, tetap kena bayar gaji kepada pekerja tersebut untuk mengelak negara kita daripada dituduh sebagai mengamalkan pemerdagangan manusia atau buruh paksa,” katanya.

Terdahulu, Johari menyaksikan penyerahan dana khusus untuk Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TPKS 2.0) berjumlah RM100 juta daripada MPOB kepada Agrobank.

Dana yang disediakan menerusi Belanjawan 2024 terdiri daripada komponen geran (50 peratus) dan sebahagian lagi adalah pembiayaan (50 peratus) kepada pekebun kecil persendirian.

Penyaluran dana bagi kedua-dua komponen geran dan pembiayaan akan disalurkan sepenuhnya oleh Agrobank dan bayaran balik oleh pemohon hanya melibatkan 50 peratus (termasuk dua peratus faedah) daripada keseluruhan jumlah dana disalurkan.

Nilai pembiayaan adalah sebanyak RM14,000 per hektar untuk pekebun kecil di Semenanjung Malaysia manakala RM18,000 per hektar kepada pekebun kecil di Sabah dan Sarawak dan permohonan telah dibuka bermula 15 Januari lepas.

-- BERNAMA