KOTA BELUD: Kerajaan bersetuju menaikkan jumlah Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) daripada Rm1 juta kepada RM2 juta pada tahun depan dalam membantu koperasi di negara ini yang terjejas akibat bencana alam.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya juga menyediakan inisiatif sedia ada iaitu Penangguhan Bayaran Balik Pembiayaan Tabung Modal Pusingan (TMP-SKM) kepada 1,000 koperasi dengan jumlah sehingga RM99 juta dan Pembiayaan Tanpa Cagaran sehingga RM200,000 menerusi Pembiayaan TMP-SKM dengan penangguhan pembayaran balik pinjaman selama enam bulan dengan peruntukan sebanyak RM15 juta.

“SKM turut memberikan bantuan kecemasan kepada koperasi yang terjejas teruk akibat bencana, dengan peruntukan sebanyak RM1 juta. Bagi tahun 2023, Tabung Bantuan Kecemasan Koperasi (TBKK) ini telah dinaikkan sehingga RM2 juta.

“Oleh itu mana-mana koperasi yang terkesan dengan bencana alam boleh mengemukakan permohonan untuk bantuan ini mulai tahun depan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang Kota Belud Berhad kali ke-4, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Penampang itu berkata, Sabah turut mencatatkan nilai perolehan sebanyak RM268 juta melibatkan 1,661 koperasi berdaftar di negeri itu pada tahun ini dengan keahlian seramai 343,230 orang pada Jun lepas.

Bilangan keahlian tersebut katanya sebahagian daripada jumlah keseluruhan keahlian koperasi negara sebanyak 7.03 juta orang.

"Daripada jumlah keseluruhan koperasi berdaftar di Sabah, jumlah syer dan yuran terkumpul adalah sebanyak RM220.52 juta; aset terkumpul bernilai RM822.58 juta dan perolehan (turnover) berjumlah RM268.04 juta.

“Dalam tempoh yang sama, terdapat 14,975 koperasi dengan keanggotaan seramai 7.03 juta orang di seluruh negara. Jumlah modal syer, yuran dan jumlah aset koperasi masing-masing mencatatkan jumlah sebanyak RM16.52 bilion dan RM156.18 bilion,” tambah Ewon.