KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI tidak pernah meluluskan sebarang lesen atau permit perjudian baharu di Kedah, mahupun menambah bilangan premis perjudian sejak mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022.
Kementerian Kewangan (MOF) menegaskan, kenyataan dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disifatkan sebagai mengelirukan kerana memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak mengawal aktiviti perjudian di negeri tersebut.
Menurut kementerian itu, jumlah lesen dan permit perjudian yang berkuat kuasa ketika ini kekal berdasarkan kelulusan lesen sedia ada sejak 1990-an.
"Sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Persekutuan pada 2020 hingga 2022 yang turut merangkumi parti Pas, tidak pernah ada sebarang usul atau keputusan untuk mengharamkan aktiviti perjudian berlesen di seluruh negara atau memansuhkan lesen sedia ada," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
MOF menambah, berdasarkan rekod, Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) pada 2020 memutuskan untuk mengurangkan bilangan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun.
Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada 2020 kemudiannya memutuskan meningkatkan atau mengembalikan semula kekerapan cabutan khas kepada 22 kali setahun.
"Selepas Kerajaan MADANI mengambil alih pentadbiran Persekutuan pada akhir 2022, keputusan terawal waktu itu adalah untuk membatalkan peningkatan tersebut dan menurunkan semula kekerapan cabutan khas daripada 22 kepada lapan kali setahun mulai Januari 2023," jelas MOF lagi.
Pada 12 Ogos, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan majoriti Mahkamah Rayuan yang mendapati dasar Kedah enggan memperbaharui lesen perniagaan berkaitan perjudian adalah melanggar perlembagaan kerana menceroboh kuasa Persekutuan.