PONTIAN: Kerajaan menanggung implikasi kewangan lebih RM500 juta bagi membolehkan kadar tol sedia ada dikekalkan di 10 lebuh raya utama tahun ini.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jumlah berkenaan perlu dibayar kepada 10 syarikat konsesi lebuh raya tersebut susulan langkah kerajaan itu yang diputuskan pada Disember tahun lepas.
Advertisement
“Segalanya, seperti tiada kenaikan tol atau diskaun tol sempena perayaan, bukan percuma tetapi dibayar oleh kerajaan kepada konsesi tol mengikut perjanjian konsesi yang telah ditandatangani sebelum ini,” katanya dalam temu bual dengan Bernama hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata kerajaan turut menanggung implikasi kewangan kira-kira RM80 juta setahun bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuh raya bertol berikutan pemberian diskaun tol 50 peratus kepada rakyat pada waktu perayaan.
Beliau berkata jumlah itu perlu dibayar kepada 33 syarikat konsesi lebuh raya bagi pemberian diskaun tol untuk perayaan Aidilfitri, Deepavali, Krismas dan Tahun Baharu Cina.
Ahmad berkata pemberian diskaun itu bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat khususnya pada musim perayaan ketika pulang ke kampung halaman masing-masing.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan melaksanakan pembinaan lebuh raya bertol melalui kaedah penswastaan kerana kekangan kewangan untuk menampung semua projek infrastruktur menggunakan peruntukan pembangunan tahunan.
Beliau berkata melalui kaedah itu, syarikat konsesi perlu mendapatkan pembiayaan daripada bank bagi menampung kos pembinaan projek lebuh raya yang mencecah berbilion ringgit.
“Apabila projek diswastakan, syarikat berkaitan terpaksa meminjam daripada bank untuk membiayai projek yang bernilai berbilion ringgit dan cara untuk mendapatkan semula bayaran itu adalah melalui kutipan tol,” katanya.
Beliau berkata kutipan tol itu pula tertakluk kepada kadar yang telah dipersetujui dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani bagi tempoh tertentu.
“Dalam tempoh yang telah ditandatangani itu, kadar tol sepatutnya dinaikkan, namun kerajaan prihatin dan tidak mahu menaikkan kadar tersebut kerana memikirkan kehidupan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA
TAG: Ahmad Maslan, KKR, tok, implikasi kewangan