Kerajaan tanpa DAP, Amanah? Cubalah, kata Tun Mahathir

Hasimi Muhamad
Oktober 16, 2019 05:15 MYT
Dr Mahathir berkata tiada sebarang perbincangan dibuat antara PH dan Hishammuddin. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR/Gambar fail
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan tiada sebarang perbincangan dibuat antara Pakatan Harapan (PH) dan bekas naib presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Ia berhubung dakwaan wujud kempen untuk membentuk kerajaan tanpa penyertaan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Bagaimanapun, Dr Mahathir secara ringkas berkata: “Mereka boleh cuba.”
Pada Selasa, Majlis Setiausaha PH mendesak Hishammuddin menghentikan kempen yang cuba menampilkan idea kerajaan tanpa penyertaan dua lagi parti komponen PH iaitu DAP dan Amanah.
Menurut pihak itu, mereka berpegang teguh kepada muafakat PH yang dipersetujui parti komponen PH dan kekal bersatu dalam kerajaan yang turut dianggotai Parti Warisan Sabah dalam Kabinet.
BACA: Majlis Setiausaha PH desak Hishammuddin henti tampil idea kerajaan tanpa DAP, Amanah
Kenyataan majlis itu ditandatangani Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Setiausaha Amanah Datuk Anuar Tahir dan Setiausaha DAP Anthony Loke Siew Fook.
#DAP #kempen #kerajaan #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #Parti Amanah Negara #PKR #Saifuddin Abdullah #tiada perbincangan #UMNO