[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Kerajaan tarik lebih RM70.7 bilion pelaburan melalui NSS setakat Jun 2025 - Lim

Bernama 26/11/2025 | 11:45 MYT
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying (dua, kanan), bersama Pengerusi Telekom Malaysia (TM), Datuk Zainal Abidin Putih (empat, kanan), ketika mengunjungi pameran pada Majlis Pelancaran TM Future Skills. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Kerajaan meraih komitmen pelaburan bernilai lebih RM70.7 bilion di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) sejak dilancarkan tahun lepas sehingga Jun 2025.


Ringkasan AI
  • Kerajaan berjaya tarik pelaburan melebihi RM70.7 bilion di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) sejak 2020 hingga 2025, dengan RM6.6 bilion pelaburan tempatan dan RM64.1 bilion asing, cipta lebih 36,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
  • NSS mengutamakan pembangunan kapasiti negara dalam reka bentuk cip, pembungkusan terkini, fabrikasi, dan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan dan automasi untuk Malaysia jadi hab pengeluar teknologi digital serantau.
  • Inisiatif TM Future Skills dilancarkan di SMKA (P) AlMashoor sebagai sebahagian daripada Sekolah Angkat Malaysia MADANI, memberi manfaat kepada lebih 60,000 pelajar melalui latihan digital, pemikiran sains, dan peningkatan kesiapsiagaan guru.


Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata jumlah itu merangkumi RM6.6 bilion pelaburan domestik dan RM64.1 bilion daripada pelaburan asing, sekali gus bakal mewujudkan lebih 36,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang pengurusan, kejuruteraan dan teknikal.

Beliau berkata NSS memberi fokus kepada mengukuhkan kapasiti negara dalam bidang reka bentuk cip, pembungkusan termaju, fabrikasi, serta penerapan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan automasi.

"Sejajar dengan aspirasi ini, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) telah menetapkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluar teknologi digital serantau, yang menerajui inovasi serta penghasilan produk dan perkhidmatan Buatan Malaysia (Made by Malaysia).

"Namun, untuk mengisi peluang ini, kita memerlukan bakat yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi mampu berfikir secara kritis, kreatif dan bersedia untuk memimpin dunia digital masa depan," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran TM Future Skills (TMFS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) AlMashoor di sini hari ini.

Terdahulu, Yayasan TM (YTM), cabang tanggungjawab sosial TM melancarkan TMFS di SMKA (P) AlMashoor, antara 35 sekolah angkat di seluruh negara di bawah inisiatif Sekolah Angkat Malaysia MADANI, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 60,000 pelajar di seluruh negara melalui pembelajaran bersama, latihan digital dan peningkatan kesiapsiagaan guru.

Lim berkata inisiatif TMFS ini dilihat sebagai komponen penting dalam memperkukuh pendidikan serta pembangunan bakat muda, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk meningkatkan kualiti pembelajaran, kemahiran teknologi dan pemikiran berasaskan sains dalam era digital yang bergerak pantas.

Usaha Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi program Sekolah Angkat MADANI mengambil pendekatan yang mampan dengan menyediakan bilik digital, peralatan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), latihan guru, latihan murid, pembangunan sukan dan aktiviti sahsiah adalah demi memastikan setiap sekolah angkat menikmati manfaat jangka panjang, katanya.

"Kementerian Kewangan sebagai penyelaras, memastikan setiap penyertaan industri memberi nilai jangka panjang dan meningkatkan kapasiti sekolah yang diangkat, selari dengan kerangka Ekonomi MADANI yang memperkasa ekonomi rakyat melalui peluang pendidikan yang menyeluruh dan inklusif," kata beliau.

-- BERNAMA



#NSS #Strategi Semikonduktor Nasional #pelaburan #Lim Hui Ying