MALAYSIA

Kerajaan teliti cadangan pembelian tanah di Arab Saudi

Bernama 25/08/2025 | 07:00 MYT
Zulkifli berkata sebarang keputusan yang diambil TH mesti mempertimbangkan keseluruhan faktor bagi memastikan setiap pelaburan memberikan manfaat kepada semua pendeposit TH. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Cadangan pembelian tanah di Arab Saudi akan diteliti dan dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira keadaan pasaran semasa, tahap risiko dan keupayaan kewangan Tabung Haji (TH).


Ringkasan AI
  • Cadangan pembelian tanah di sekitar Masjidil Haram akan diteliti secara menyeluruh oleh TH dengan mengambil kira keadaan pasaran, tahap risiko dan keupayaan kewangan, serta belum ada perincian lanjut berkenaan pindaan undang-undang pemilikan hartanah.
  • TH telah memeterai perjanjian jangka panjang dengan penyedia perkhidmatan di Arab Saudi, termasuk penginapan dalam radius satu kilometer dari Masjidil Haram dan Madinah, bagi menjamin mutu perkhidmatan kepada jemaah haji Malaysia.
  • TH terbuka untuk mengkaji cadangan pembelian saham hotel sedia ada, namun ia memerlukan kajian teliti dan mesti mematuhi tatakelola yang telah ditetapkan serta mendapat kelulusan Kementerian Kewangan.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata sebarang keputusan yang diambil TH mesti mempertimbangkan keseluruhan faktor bagi memastikan setiap pelaburan memberikan manfaat kepada semua pendeposit TH.

"Buat masa ini masih terlalu awal dan belum ada perincian dan maklumat menyeluruh berkenaan pindaan undang-undang berkaitan pemilikan hartanah," katanya.

Zulkifli berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Hussin Ismail yang ingin tahu sama ada TH bercadang untuk menambah aset dengan membeli tanah di kawasan berdekatan Masjidil Haram bagi menambah baik perkhidmatan kepada bakal jemaah Haji Malaysia pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata TH telah memeterai perjanjian jangka panjang bersama pelbagai pihak penyedia perkhidmatan di Arab Saudi bagi memastikan mutu perkhidmatan yang tinggi dapat dikekalkan, di samping menyeimbangkan kemampuan kewangan supaya sentiasa mampan.

"Daripada perjanjian ini, TH telah dapat mengikat perjanjian bagi beberapa hotel penginapan yang jarak lokasinya dalam radius 1 kilometer daripada Masjidil Haram dan mencukupi untuk menempatkan kesemua jemaah haji muassasah negara.

"TH terbuka mengkaji kesesuaian cadangan yang dapat mengawal peningkatan kos untuk melaksanakan penambahbaikan berterusan yang dapat memberi nilai tambah demi kebaikan para jemaah dalam kerangka kemampuan kewangan TH," katanya.

Menjawab soalan tambahan berhubung cadangan memulakan pembelian aset dengan membeli saham bangunan hotel sedia ada, Zulkifli berkata ia memerlukan kajian mendalam dan teliti untuk memastikan keputusan yang terbaik.

Beliau berkata Malaysia memperoleh kontrak jangka panjang melibatkan tujuh bangunan di Makkah dan tiga bangunan maktab yang strategik di Madinah dalam radius satu kilometer, yang menjadi idaman negara lain.

"Berkenaan tatakelola ia adalah yang terbaik dan melalui semua tatakelola yang ditetapkan TH. TH mendapat kelulusan Kementerian Kewangan dan ia mengikut semua tatakelola baik.

"Jadi, sekiranya ada yang kata bahawa ada tidak ikut tatakelola yang betul, ia sebenarnya salah dan ia perlu dibetulkan supaya kita dapat memberikan sokongan padu kepada TH dan segala berita tidak betul dan palsu kita noktahkan dan letak ke tepi," katanya.

-- BERNAMA

#Tabung Haji #pembelian tanah #Arab Saudi #Mekah