Kerajaan teliti cadangan penubuhan Mahkamah Komersial Antarabangsa di Malaysia

Bernama
Disember 20, 2023 12:41 MYT
Cadangan itu dibincang dalam perjumpaan Azalina dengan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan pihak mahkamah di Istana Kehakiman. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti cadangan penubuhan Mahkamah Komersial Antarabangsa di Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Menerusi catatan di Facebook, Azalina berkata cadangan itu dibincang dalam perjumpaan beliau dengan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan pihak mahkamah di Istana Kehakiman hari ini.
Beliau berkata inisiatif itu bermatlamat menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi pilihan utama di rantau ini bagi penyelesaian pertikaian berkaitan undang-undang komersial.
"... dan juga mempertingkat keyakinan pelabur asing untuk melabur dalam negara kita selaras dengan agenda Kerajaan Perpaduan untuk menarik pelaburan asing ke Malaysia melalui model yang bersesuaian," katanya.
-- BERNAMA
#mahkamah komersial antarabangsa #penubuhan #Malaysia #Azalina Othman Said