MALAYSIA

Kerajaan teliti kewajipan label kandungan AI bagi kawal maklumat palsu

Bernama 29/07/2025 | 05:50 MYT
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzi bercakap pada Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti keperluan mewajibkan pelabelan kandungan yang dihasilkan atau diubah suai menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai langkah kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu dalam media sosial.


Ringkasan AI
  • Cadangan wajib label kandungan AI: Kerajaan melalui MCMC sedang teliti keperluan pelabelan seperti AI Generated atau AI Enhanced untuk kawal penyebaran maklumat palsu di media sosial.
  • Risiko kandungan deepfake dibincang serius: Menteri Komunikasi menekankan keperluan kawal selia terhadap teknologi generatif yang boleh salah guna identiti tokoh terkenal, sedang dibincangkan secara nasional dan global.
  • Siasatan kes media sosial ikut prosedur telus: Aduan disiasat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; notis dan sitaan peranti boleh dikeluarkan jika wujud bukti penglibatan individu.


Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata antara pelabelan yang dicadangkan ialah AI Generated atau AI Enhanced bagi membantu pengguna mengenal pasti kandungan yang menggunakan teknologi AI.

"Kita lihat langkah ini boleh dilaksanakan melalui Akta 868 atau Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) dan kita jangkakan setelah beberapa peraturan disiapkan oleh pihak MCMC, insya-Allah ONSA dapat berkuat kuasa pada hujung tahun ini," katanya pada Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) berhubung langkah kementerian menangani lambakan kandungan AI deepfake dalam media sosial.

Menjawab kebimbangan terhadap kandungan deepfake yang menyalahgunakan wajah atau suara tokoh terkenal, Fahmi berkata kawal selia terhadap teknologi generatif seperti AI kini giat dibincangkan pada peringkat nasional dan antarabangsa.

"Platform-platform media sosial mempunyai satu tanggungjawab ... mereka tidak boleh membiarkan kandungan-kandungan bersifat deepfake ini disebar dengan sedemikian rupa," katanya.

Menjawab soalan asal Mohd Suhaimi berhubung prosedur siasatan MCMC terhadap aduan berkait kenyataan-kenyataan melalui media sosial, Fahmi menjelaskan siasatan dijalankan mengikut peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bermula daripada penerimaan laporan maklumat pertama (FIR) sehinggalah rujukan kepada Timbalan Pendakwa Raya.

"Bagi kes yang disiasat, satu notis di bawah Seksyen 255 Akta 588 boleh dikeluarkan terhadap individu berkaitan ... sekiranya terdapat bukti awal yang boleh mengaitkan individu berkenaan dengan kesalahan yang disiasat, peranti komunikasi milik individu itu boleh disita, sama ada oleh MCMC atau polis," katanya.

Beliau berkata semua proses siasatan dilaksanakan secara telus dan menyeluruh bagi memastikan prinsip undang-undang ditegakkan dengan adil.

-- BERNAMA






#label kandungan AI #Fahmi Fadzil #kecerdasan buatan #Dewan Rakyat #terkini