Kerajaan teliti pinda akta tertentu perketat hukuman kes curi kabel - Saifuddin Nasution

SAIFUDDIN NASUTION: Kita lihat negara seperti China dan Jerman, pengendali rel mereka melabur besar dalam teknologi keselamatan. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti keperluan meminda beberapa peruntukan undang-undang sedia ada bagi memperketat hukuman terhadap kes kecurian kabel, khususnya membabitkan projek strategik seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Ringkasan AI
- Kerajaan akan meminda peruntukan undang-undang untuk memperketat hukuman kes kecurian kabel, terutamanya dalam projek strategik seperti ECRL.
- Keperluan untuk meningkatkan teknologi keselamatan rel seperti pemasangan CCTV disokong oleh Menteri Dalam Negeri.
- Kabel isyarat dan bekalan kuasa menjadi sasaran utama curi, dengan kes tertinggi dilaporkan di Pahang dan dijangka merebak ke Terengganu dan Kelantan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi pertemuan Menteri Dalam Negeri bersama warga Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Dr Awang Alik Jeman dan Ketua Pengarah AKPS Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Saifuddin Nasution berkata selain itu pengendali perkhidmatan rel juga perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi keselamatan seperti pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem pemantauan pintar selari dengan amalan di negara maju.
"Kita lihat negara seperti China dan Jerman, pengendali rel mereka melabur besar dalam teknologi keselamatan. Pendekatan ini perlu diambil bersama oleh penguat kuasa dan pengendali," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya mengenal pasti dua jenis kabel utama sering menjadi sasaran iaitu kabel isyarat dan kabel bekalan kuasa yang kebanyakannya dijual kepada kilang pelupusan besi dan logam kerana mempunyai nilai pasaran tinggi.
"Kes kecurian tertinggi setakat ini dilaporkan di Pahang ketika kerja pemasangan ECRL sedang giat dijalankan. Insiden ini dijangka beralih ke Terengganu dan Kelantan apabila kerja pemasangan diteruskan di negeri-negeri berkenaan," katanya.
Sebelum ini, tular laporan bahawa kes kecurian kabel hanya dikenakan denda RM1,000 dan tidak setimpal dengan kerugian ditanggung oleh pengendali dan kerajaan.
Loke dilaporkan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas terhadap kes kecurian kabel di tapak projek ECRL kerana perbuatan itu boleh menjejaskan kelancaran dan pelaksanaan projek berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


