Skip to main content

Malaysia

Kerajaan teliti semula keperluan pekerja asing sektor restoran, pembinaan - Fahmi

KUALA LUMPUR, 12 Jun -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (kiri) yang juga jurucakap Kerajaan MADANI ketika sidang media mingguan di Angkasapuri hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (kiri) yang juga jurucakap Kerajaan MADANI ketika sidang media mingguan di Angkasapuri hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti semula keperluan pengambilan pekerja asing bagi beberapa sektor termasuk restoran dan pembinaan susulan permohonan yang dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, pada Jumaat.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan memandangkan negara ketika ini mempunyai dasar berkaitan had jumlah pekerja asing yang dibenarkan bekerja di Malaysia.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan beberapa kementerian berkaitan mendapatkan maklumat yang lebih lengkap dan terperinci daripada pemain industri bagi menilai keperluan sebenar tenaga kerja dalam sektor terbabit.

"Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membincangkan permohonan daripada beberapa sektor termasuk restoran dan pembinaan berhubung keperluan tenaga kerja asing.

"Memandangkan terdapat dasar negara berhubung had jumlah pekerja asing, Perdana Menteri mengarahkan kementerian berkaitan mendapatkan maklumat yang lebih lengkap daripada industri dan sektor di bawah seliaan masing-masing," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Menurut Fahmi, kementerian yang terbabit termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Kerja Raya.

Beliau berkata, data dan justifikasi yang dikumpulkan akan dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri bagi membolehkan kerajaan membuat penilaian lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Maklumat yang diperoleh akan membantu kerajaan memahami keperluan sebenar tenaga kerja, termasuk pekerja asing, sebelum perkara itu diteliti semula dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang," katanya.

Must Watch Video

Advertisement