KUALA BERANG: Nasib malang dua beradik yang kehilangan ibu mereka dalam tragedi pembunuhan tragis di Kota Tinggi, Johor baru-baru ini, mendapat perhatian kerajaan negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga serta Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata kerajaan negeri sedia menanggung kos pendidikan dua beradik yang berusia tiga dan empat tahun itu hingga ke peringkat universiti.

"Pendidikan anak-anak ini tidak akan terabai...kita akan beri bantuan mengikut keperluan mereka dan untuk hari ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyampaikan bantuan segera sebanyak RM300.

"Bantuan bulanan juga akan diberikan kepada dua beradik ini sebanyak RM250 seorang sebaik sahaja selesai urusan mahkamah tentang hak penjagaan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga mangsa bunuh itu di Kampung Telaga, di sini hari ini.

Turut hadir menziarahi keluarga mangsa ialah Pengarah JKM negeri Zuhami Omar.

Selain itu, Hanafiah berkata kerajaan negeri bersama JKM Terengganu juga akan membantu memudahkan proses tuntutan hak penjagaan di mahkamah bagi memastikan keluarga mangsa mendapat hak tersebut memandangkan dua beradik itu lebih rapat dengan mereka.

Jumaat lepas, media melaporkan misteri kehilangan seorang wanita akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di dalam sebuah tong air yang tertanam di sebuah ladang di Bandar Penawar, kira-kira 30 kilometer dari tempat kejadian, sekitar 4.30 pagi pada hari kejadian.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilapor berkata suami mangsa berusia 43 tahun menjadi suspek utama dipercayai menembak isterinya secara dekat, menggunakan senapang angin ketika mangsa sedang tidur di rumahnya.

Kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu dan polis juga menjumpai surat tuntutan fasakh di rumah berkenaan.

Jenazah wanita yang berusia 38 tahun itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Telaga di sini kira-kira 5.30 pagi semalam.

-- BERNAMA