MALAYSIA

Kerajaan teroka potensi teknologi penyiaran 5G

Bernama 25/09/2025 | 09:00 MYT
Fahmi berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang meneliti dan menguji kebolehlaksanaan serta kesesuaian teknologi baharu muncul itu untuk digunakan di Malaysia. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kerajaan mula meneroka potensi penggunaan teknologi Penyiaran 5G bagi melengkapi kaedah penyampaian sektor penyiaran negara, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang meneliti dan menguji kebolehlaksanaan serta kesesuaian teknologi baharu muncul itu untuk digunakan di Malaysia.

"MCMC telah mula melakukan test bed session untuk meneliti aspek teknikal melibatkan sama ada isu gangguan spektrum, kesesuaian dalam keadaan tertentu untuk melihat kemampuan bagi teknologi ini.

"Isu yang MCMC uruskan adalah daripada aspek teknikal untuk membolehkan teknologi ini digunakan tanpa mendatangkan gangguan kepada mod penyiaran yang lain ataupun perkhidmatan telekomunikasi sedia ada," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penyiaran 5G di sini hari ini.

Fahmi berkata teknologi Penyiaran 5G dijangka matang dalam tempoh beberapa tahun akan datang memandangkan terdapat negara di Eropah yang akan mula melaksanakannya seawal 2027.

"Jadi, antara 2027 ke 2030 baru kita nampak ia lebih berkembang kerana teknologi ini masih sangat baharu sebab ia melibatkan pemasangan chipset tertentu dalam peranti... mungkin dalam dua hingga tiga generasi telefon bimbit yang akan datang, barulah kita akan dapat manfaatkan," katanya.

Mengulas mengenai manfaat yang bakal dibawa teknologi itu sekiranya dilaksanakan, Fahmi berkata ia boleh menambah baik pengalalaman penonton bagi sesuatu acara melalui venue casting dan mempercepat penyiaran amaran kecemasan.

"Siaran boleh dibuat dengan sangat pantas dan jelas serta memberikan perspektif yang berbeza dengan menggunakan teknologi yang lebih baharu seperti 3D view dan banyak lagi aplikasi.

"Kita juga sedang teliti beberapa cara untuk menyampaikan amaran awal yang tidak menggunakan sistem pesanan ringkas... ada beberapa teknologi sedia ada tetapi kita lihat Penyiaran 5G juga akan membantu ke arah itu," katanya.

Teknologi Penyiaran 5G merupakan evolusi terkini dalam bidang telekomunikasi yang membolehkan kandungan disiarkan terus kepada peranti mudah alih tanpa memerlukan sambungan Internet tradisional.

Tidak seperti rangkaian mudah alih konvensional yang menumpukan kepada komunikasi dua hala, Penyiaran 5G membolehkan penghantaran isyarat siaran satu-ke-banyak secara serentak dengan kualiti tinggi dan liputan lebih meluas melalui Ultra High Frequency yang digunakan untuk siaran televisyen terestrial.

Terdahulu, Fahmi merasmikan Persidangan Penyiaran 5G anjuran MCMC yang menghimpunkan lebih 400 peserta daripada pelbagai sektor industri dan agensi berkepentingan.

Persidangan itu adalah lanjutan kepada Kajian Teknologi Penyiaran Masa Hadapan yang telah dijalankan oleh MCMC sejak 2023 yang memfokus kepada potensi teknologi baharu seperti Penyiaran 5G dalam memperkasa industri penyiaran tempatan termasuk siaran TV, radio dan penstriman digital.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha kementerian berkenaan Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

-- BERNAMA


#5G #Fahmi Fadzil #MCMC #teknologi Penyiaran 5G