MALAYSIA

Kerajaan teroka tenaga nuklear, sasar 70 peratus tenaga boleh baharu menjelang 2050

Seth Akmal 25/08/2025 | 03:20 MYT
Akmal Nasir berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi memastikan sasaran yang ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dapat dicapai. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan kini meneroka potensi tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga bersih dalam usaha mencapai sasaran 70 peratus tenaga boleh baharu (TBB) menjelang tahun 2050.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasir Nasrullah berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang bagi memastikan sasaran yang ditetapkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dapat dicapai.

Menurutnya, MyPOWER Corporation telah dilantik di bawah kerangka Nuclear Energy Programme Implementing Organization (NEPIO) untuk mengemudi usaha kajian dan persediaan ke arah pelaksanaan tenaga nuklear di negara ini.

“Kalau kita lihat dalam RMK-13, sudah dinyatakan komitmen kerajaan untuk meneroka satu lagi sumber tenaga bersih iaitu nuklear. Malah MyPOWER Corporation telah dilantik di bawah kerangka NEPIO untuk mengemudi usaha tersebut.

“Kita kini berada pada peringkat eksplorasi sama ada kekuatan negara ini mampu bergerak ke arah pelaksanaan tenaga nuklear,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain tenaga nuklear, Akmal turut menjelaskan bahawa kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Battery Energy Storage System (BEST) bagi meningkatkan keanjalan grid tenaga negara.

Katanya, sistem itu penting bagi menampung lebih banyak kemasukan TBB terutama daripada sumber solar dan hidro, yang sifatnya bersifat tidak konsisten serta terhad pada waktu tertentu.

“Bagi sasaran lebih dekat iaitu 2040, kerajaan telah melaksanakan Large Scale Solar (LSS) yang setakat ini mampu menampung grid sedia ada.

“Namun untuk fasa seterusnya, kita sedang melaksanakan BEST untuk meningkatkan keanjalan grid agar lebih banyak TBB boleh disalurkan,” jelasnya.

Beliau menambah, kombinasi pelbagai sumber tenaga hijau dan teknologi sokongan akan memastikan negara berada pada landasan yang kukuh untuk memenuhi sasaran tenaga bersih menjelang 2050.

Akmal berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Hasni Mohammad yang meminta penjelasan mengenai usaha kerajaan mencapai tahap 70 peratus TBB sedangkan pencapaian semasa dalam RMK-13 menunjukkan hanya berada pada kadar 29 peratus.



#Tenaga Boleh Diperbaharui #nuklear #Petra #Akmal Nasrullah Mohd Nasir