Kerajaan terus beri perhatian kepada golongan belia - Tengku Zafrul

Astro Awani
Ogos 13, 2022 14:50 MYT
Tengku Zafrul menjelaskan keprihatinan kerajaan kepada belia dapat dilihat menerusi program Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang telah memperuntukkan sebanyak RM450 juta dalam Bajet 2022. - Gambar fail
KUALA SELANGOR: Kerajaan akan terus memberi perhatian kepada pandangan dari golongan anak muda atau belia serta mengiktiraf pandangan mereka sebagai rakan pembangunan startegik negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan di bawah semangat Keluarga Malaysia pelbagai dasar, program dan peruntukan telah kerajaan sediakan untuk golongan belia.
Tengku Zafrul menjelaskan keprihatinan kerajaan kepada belia dapat dilihat menerusi program Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang telah memperuntukkan sebanyak RM450 juta dalam Bajet 2022.
"Kerajaan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terpilih akan membekalkan sebuah tablet kepada 600,000 siswa-siswi daripada golongan B40 dan permohonan telah PUN dibuka.
"Baru-baru ini kerajaan telah memperluaskan program Peranti Siswa kepada empat kategori penerima, ianya membabitkan pelajar yang sedang mengikuti program asasi di IPTA dan pelajar matrikulasi di bawah kementerian pendidikan, pelajar semester satu dan dua sekolah menegah atau pelajar tingkatan enam serta peljara diploma vokasional Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di kolej vokasional," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Belia Negara peringkat Selangor yang diadakan di Kuala Selangor.
Selain itu, kerajaan turut menyediakan Pelan Pembiayaan Keusahawanan bagi golongan belia yang berhasrat ingin menceburi bidang keusahawan.
"Pelan pembiayaan sebanyak RM150 juta disediakan dibawah Bank Simpanan Nasional dan Agro Bank.
"Pada April lepas pihak kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM300 juta bagi program e-Pemula yang memanfaatkan seramai 2 juta belia, ianya menekankan penggunaan e-dompet atau e-tunai untuk pembelian secara fizikal," katanya lagi.
Sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini bertemakan Ini Masa Kita yang mengingatkan betapa berharganya masa muda dan perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
Dalam ucapannya juga Tengku Zafrul menjelaskan ketika pandemik COVID-19 melanda negara, golongan belia merupakan pihak yang banyak terlibat dalam bidang keusahawanan.
Katanya, pengilbatan golongan belia dalam bidang pendigitalan dan gig ekonomi telah memberi rangsangan ekonomi dan sumbangan idea kepada kerajaan.
Tengku Zafrul juga menjelaskan perkembangan itu membuktikan bahawa golongan belia tidak lagi mengharapkan kepada ekonomi dan pekerjaan tradisional.
#Hari Belia Negara #Belia #Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Keluarga Malaysia #peruntukan #digital