MALAYSIA

Kerajaan terus perkasa penjaja, peniaga kecil menerusi agenda Malaysia MADANI - Anwar

Bernama 02/11/2025 | 09:00 MYT
Orang ramai mengambil peluang berbelanja sempena Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2025 yang berlangsung di Lurah Semantan hari ini. - Foto Bernama
TEMERLOH: Kerajaan akan terus memperkasakan komuniti penjaja dan peniaga kecil sebagai nadi utama ekonomi rakyat melalui pelbagai inisiatif pendigitalan, pembiayaan serta pembangunan kapasiti di bawah agenda Malaysia MADANI.


Ringkasan AI
  • Kerajaan komited memperkasakan penjaja dan peniaga kecil melalui inisiatif pendigitalan, pembiayaan dan pembangunan kapasiti di bawah agenda Malaysia MADANI.
  • PMKS menyumbang RM652.4 bilion kepada KDNK dan 8.1 juta pekerjaan, dengan sasaran meningkatkan sumbangan kepada 50% KDNK menjelang 2030 melalui Dasar Keusahawanan Nasional dan Dasar Pembangunan Penjaja & Peniaga Kecil Negara.
  • Program Jajahan Rakyat dan Belanjawan 2026 beri tumpuan kepada transformasi digital, bantuan pembiayaan dan akses pasaran antarabangsa, bagi memastikan peniaga kecil terus berdaya saing dan meningkatkan taraf hidup.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dua golongan itu merupakan wira ekonomi rakyat yang memacu pertumbuhan domestik dan kestabilan ekonomi negara.

Beliau berkata kekuatan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah dibuktikan apabila menyumbang sebanyak RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas dan menyediakan 8.1 juta peluang pekerjaan.

"Mereka inilah yang setiap hari berada di barisan hadapan, dari pasar pagi hingga penjaja malam demi memastikan rakyat mendapat makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan. Mereka adalah wajah sebenar semangat niaga negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian penutup Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK2025) di Lurah Semantan, di sini hari ini. Teks ucapan dibacakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan timbalannya Datuk Seri R Ramanan.

Anwar berkata kerajaan berhasrat meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50 peratus nilai KDNK menjelang 2030, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

Beliau berkata langkah itu turut diperincikan menerusi Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 yang digubal oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sebagai panduan utama memperkukuh komuniti tersebut.

"Namun dasar komprehensif atas kertas perlu disusuli dengan tindakan segera di lapangan agar manfaatnya dapat dirasai golongan sasar," katanya.

Beliau berkata dalam konteks itu, KUSKOP berperanan penting sebagai peneraju utama dalam memastikan dasar dan inisiatif kerajaan benar-benar diterjemahkan untuk membantu penjaja dan peniaga kecil terus berkembang.

Beliau berkata antara inisiatif diberi tumpuan termasuk Program Jajahan Rakyat oleh KUSKOP dengan kerjasama Bank Rakyat, yang memperluas akses digital dan mempercepat transformasi tanpa tunai dalam kalangan peniaga kecil.

Menurutnya, pendekatan itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan urus niaga, malah membantu peniaga kecil menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi digital secara inklusif.

"Program ini bukan sekadar menyediakan kemudahan kewangan, tetapi turut mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif dan berdaya saing," katanya.

Selain itu, usaha memperkasakan penjaja dan peniaga kecil turut dimantapkan menerusi Belanjawan 2026, yang memberi tumpuan kepada suntikan dana, bantuan pembiayaan dan galakan ke arah pasaran antarabangsa.

Beliau berkata tumpuan itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan peniaga kecil terus berdaya saing, mampu meningkatkan taraf hidup dan menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara.

-- BERNAMA





#Anwar Ibrahim #komuniti penjaja dan peniaga kecil #nadi utama ekonomi rakyat #Wan Rosdy Wan Ismail