KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak ada sebarang halangan untuk menaja dan menghantar graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi menyambung pengajian ke luar negara.

Namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata untuk waktu ini program penajaan sedemikian bukan suatu yang mendesak, memandangkan kerajaan lebih menumpukan kepada mengumpul kemahiran dalam negara.

“Jadi, kalau ada keperluan tajaan dalam bidang tertentu yang tidak ada keupayaan dalam negara dan perlu dilatih di luar negara seperti China, Arab, Amerika Syarikat atau Eropah, saya tidak ada masalah. Kita boleh hantar.

“Asyraf Wajdi (Pengerusi MARA) akan mulakan program itu dalam kalangan (pelajar) di bawah kendalian MARA, kita akan cuba hantar. Tetapi di peringkat sekarang, kita tidak fikir ia terlalu mendesak kerana kita mahu bawa kepakaran dan kemahiran itu melatih jumlah yang lebih ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Temu Anwar di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan antara program penajaan yang akan dibuka kepada graduan tempatan ialah latihan lanjutan yang dikendalikan oleh syarikat pengeluar automobil China, Geely.

“Menurut Geely, mereka mahu ambil 300 lulusan kejuruteraan universiti dan TVET untuk dibawa ke Universiti Geely di negara China untuk diberi latihan tambahan. Kita tidak menghalang sama-sekali. Kita iktiraf kelulusan TVET itu dan tidak benar untuk katakan kita tidak iktiraf,” katanya lagi.

Selain itu, Anwar turut mendedahkan bahawa peluang pekerjaan bagi graduan TVET akan diperluaskan dengan komitmen daripada syarikat-syarikat Jepun yang ada di Malaysia.

Hal tersebut akan direalisasikan melalui program pengembangan industri bernilai RM28 bilion bermula tahun ini yang melibatkan sekitar 15 buah syarikat korporat besar Jepun.

Pelaburan juga mula memasuki pasaran Malaysia dari Arab Saudi dan Amerika Syarikat kata Anwar, yang akan terus memberi manfaat kepada tenaga buruh dalam negara khususnya graduan TVET.

Malah beliau menegaskan bahawa kerajaan juga memberi tumpuan kepada sektor sekuriti makanan dengan menambah pelaburan dalam bidang teknologi agar boleh melonjakkan pendapatan pengusaha pertanian sedia ada dan graduan yang menyertai sektor berkenaan.

“Kita sebut tentang keselamatan makanan tapi dalam bidang teknologi makanan. Saya umum bulan lalu di Kedah, kita sediakan RM3 bilion prasarana untuk pesawah padi, kerana pesawah padi itu dalam kalangan paling miskin.

Mengapa? Kerana kita mahu tingkatkan pendapatan dia. Sekarang satu musim satu tahun.  Kita mahu tingkatkan kepada lima musim dalam masa dua tahun, jadi pendapatan dia akan melonjak naik,” katanya lagi.