Kerajaan tidak berhasrat memansuhkan sekolah jenis kebangsaan kerana ia bukan dasar parti Barisan Nasional (BN), kata Pengerusinya, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau menegaskan, walaupun ada sesetengah pihak yang pernah mencadangkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dimansuhkan dalam usaha mewujudkan sistem sekolah satu aliran, ia bukanlah hasrat BN untuk melaksanakannya.

"Sebab itu kita mesti kembali pada asas negara kita. Kita perlu mewujudkan kepercayaan dalam kepelbagaian komuniti di negara ini. Ini bukan keputusan saya, tapi ini merupakan keputusan serta aspirasi nenek moyang kita.

"Sebab itu kalau ada suara-suara yang berkata, kita harus hapuskan sekolah jenis kebangsaan dan wujudkan sekolah satu aliran, itu bukan dasar BN," ujar Najib, sambil disambut tepukan gemuruh para perwakilan MCA ketika merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-62 di sini, hari ini.

Beliau menegaskan dasar BN adalah berteraskan kepada kepelbagaian bangsa, agama dan budaya yang telah ditentukan oleh pengasas negara ini, dan sebarang sikap yang bertentangan dengan nilai-nilai kesederhanaan BN adalah tidak digalakkan.

Najib berkata beliau terus yakin dengan komponen BN dan mahu parti itu terus mengorak langkah kehadapan, mengembalikan kepercayaan rakyat sekaligus terus meraih majoriti pada Piliharaya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Pada majlis sama, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai turut mengkritik sesetengah individu mahupun kumpulan yang terus mendesak supaya kerajaan menghapuskan sekolah vernakular.

""Tindakan biadap memijak gambar pemimpin, mengeluarkan kata-kata kesat seperti 'Cina babi', seruan-seruan jahat untuk hapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) telah merosakkan keamanan dan perpaduan di negara.

"Saya mengecam dan mengutuk tindakan tidak bertqanggungjawab seperti ini. Saya seru kerajaan agar ambil tindakan segera (iaitu) untuk mengambil tindakan memperbetulkan (tindakan negatif)," kata Liow.

Sebelum ini, beberapa pemimpin politik menegaskan SJKC didakwa menjadi medan untuk pembangkang menanam sifat membenci kerajaan BN dalam kalangan murid, sekali gus membentuk murid yang tidak gemar bergaul dengan murid bangsa lain, terutama Melayu.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada September menyuarakan pendapatnya bahawa sistem sekolah satu aliran dijangka mampu memperkasakan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini yang berbilang kaum.

Beliau melihat sistem yang menempatkan semua pelajar dari segenap bangsa atau etnik di bawah satu bumbung dengan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara utama dapat membentuk masyarakat Malaysia yang lebih erat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar turut senada dengan Khairy yang menyifatkan sistem sekolah satu aliran merupakan antara usaha yang perlu diutamakan oleh kerajaan bagi memastikan setiap murid daripada pelbagai kaum dapat mengenali antara satu sama lain.