Program Jualan Sentuhan Rakyat yang menjual barangan keperluan harian dengan harga murah menjadi bukti jelas kerajaan tidak pernah membiarkan rakyat 'bersendirian' dalam menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun tidak menafikan berlaku peningkatan harga barangan pada masa kini, namun kerajaan turut 'campur tangan' untuk memastikan rakyat tidak terbeban dengan isu itu.

Beliau berkata apabila timbul isu kenaikan kos sara hidup, kerajaan tidak boleh kawal secara keseluruhan kerana sebagai sebuah negara yang mengamalkan pasaran bebas, harga ditentukan oleh permintaan dan penawaran.

"Bagaimanapun kerajaan yang kita ada hari ini merupakan kerajaan yang bertangggungjawab, kita tidak serahkan sepenuhnya soal ini kepada pengguna untuk tentukan naik turun harganya, tetapi kerajaan turut campur tangan.

"Contohnya menerusi Skim Kawalan Harga pada musim perayaan, Kedai Rakyat 1Malaysia dan Jualan Sentuhan Rakyat, ini antara usaha kerajaan untuk memastikan kebajikan rakyat terus terjaga," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jualan Sentuhan Rakyat Parlimen Bera di sini hari ini.

Pada program yang diadakan di perkarangan Pejabat UMNO Daerah Bera itu, sebanyak 30 barangan keperluan harian termasuk telur, susu, gula, beras, kicap dan ayam dijual dengan harga yang murah berbanding pasaran sehingga menarik lebih 2,000 penduduk dari kawasan berhampiran berkunjung ke situ.

Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera berkata hasil kajian yang dilakukan mendapati program jualan seperti itu, mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada rakyat terutama mereka yang berada di luar bandar serta berpendapatan rendah.

"Tetapi kita tidak bolehlah mengadakan program seperti ini terlalu kerap lebih dua kali sebulan sebab nanti ia akan menjejaskan pula peniaga yang runcit yang lain pula," katanya.

Sementara itu seorang suri rumah Siti Sanah Sulaiman, 50, dari Felda Tementi amat gembira apabila program seperti itu turut diadakan di Bera.

"Harganya memang sangat murah dan berpatutan jika nak dibandingkan dengan harga pasaran, contohnya jika ayam segar di pasar dan kedai dijual RM7.50 sekilogram, namun di sini ia dijual dengan harga RM6.50 sekilogram.

"Jadi untuk kami terutama yang tinggal di kawasan Felda, memang amat memerlukan barangan yang dijual dengan harga murah seperti ini ditambah lagi dengan keadaan kenaikan kos sara hidup pada masa kini," katanya.

-- BERNAMA